Wednesday 23 December 2015

PENERANGAN DAN PERSOALANNYA

PENERANGAN DAN PERSOALANNYA
Oleh : Khaidir Khatib
Ketua Penerangan PAS Kelantan 1958

PENTINGNYA PENERANGAN

Kita berjuang untuk mencapai kemenangan,
Kemenangan tidak akan diperoleh melainkan dengan kekuatan,
Kekuatan tidak akan ada melainkan dengan persatuan
Persatuan tidak akan wujud melainkan dengan persamaan keyakinan,
Keyakinan tidak akan tumbuh melainkan dengan pengertian,
Pengertian tidak akan didapat melainkan dengan penerangan.

1.      Cita cita Islam adalah sejarah memperoleh kemenangan adalah dimulai dengan dakwah atau penerangan, iaitu mengajak manusia memahami kebenaran yang disampaikan oleh Rasul. Penerangan itu mewujudkan faham dan faham menimbulkan keyakinan. Keyakinan itu sumber persatuan dan kalimat tauhid yang menjadi punca keyakinan mewujudkan tauhidul-kalimah iaitu persatuan pendapat dan sikap. Dengan persatuan timbullah kekuatan dan dengan kekuatan tercapailah kemenangan.

2.      Maksud penerangan ialah menyakinkan orang dengan dalil-dalil yang ma’qul serta tahan uji tentang kebenarannya. Oleh itu, memberi penerangan tidaklah boleh dengan meraba-raba atau dengan teragak-agak, tetapi ia hendaklah dilakukan terlebih dahulu mempelajari dan memahami dengan saksama tentang apa yang hendak diterangkan dan mestilah sanggup pula dipertanggungjawabkan tentang kebenarannya jika berbangkit sebarang soalan dibelakang hari kelak.

3.  Ketahuilah bohong dapat dilakukan pada sebahagian orang di sebahagian tempat dan di sebahagian masa, tetapi bohong tidak akan laku pada semua orang di semua tempat dan di semua masa.

TUGAS PENERANGAN

1.      Ke dalam
a.     Memperdalamkan keyakinan pengikut-pengikut parti kita tentang benarnya apa yang kita perjuangkan (tentu sahaja dengan menggerakkan daya berfikir mereka supaya mereka jangan menjadi kaum muqallidin iaitu kaum yang mengikut dengan membuta tuli)
b.     Meresapkan faham persaudaraan Islam dalam hati sanubari mereka sehingga mereka merasakan jemaah parti sebagai satu tubuh yang bila sakit, merasa sakit seluruh tubuh.
c.   Menumbuhkan kemahuan untuk beramal dengan penuh rasa pertanggungjawapan-pertanggungjawapan sebagai hamba Allah, pertanggungjawapan sebagai anggota parti dan pertanggungjawapan sebagai anggota masyarakat.
2.      Ke Luar
a.      Menyampaikan semua atau meratakan faham tentang hakikat ajaran Islam
b.      Menjelaskan dasar dan tujuan perjuangan parti kita.
c.       Menerangkan dengan secara objektif atau sihat garis-garis pemisah antara kita dengan yang bukan kita dalam perjuangan politik.
d.  Menerangkan sikap atau pendirian kita dalam satu-satu persoalan politik yang berbangkit.

TUGAS-TUGAS PEGAWAI PENERANGAN

1.      Memahami dengan secara mendalam dasar dan tujuan parti kita- politik dan organisasi.
2.   Mempelajari tiap-tiap perkembangan di sekitar masyarakat tanahair, sama ada yang mengenai politik atau dunia kepartian.
3.      Mengetahui dasar dan tujuan parti lawan kita.
4.      Memahami kedudukan atau jiwa satu-satu tempat sebelum melancarkan penerangan.
5.      Memberikan penerangan dengan tujuan mengisi jiwa dan menyakinkan orang.
6.  Menghadapi lawan politik kita dengan waspada dan lapang hati, hormati faham mereka walaupun kita tidak bersetuju dengannya.
7.      Menjaga batas-batas kesopanan Islam dalam masa berbicara.

NILAI PENERANGAN

Nilai sesuatu penerangan tidak terletak pada gemuruhnya tepuk pendengar dan hebatnya suara pensyarah, tetapi ketahuilah bernilai atau tidak sesuatu penerangan itu adalah bergantung kepada kebolehan atau keahlian si pembicara memecahkan soal yang dibicarakannya dengan teratur, mudah dan menggembirakan, sehingga senang diikuti atau difahami orang.

CARA-CARA PENERANGAN

1.      Tegas tetapi penuh hikmah
2.      Kalau perlu hentam- ingat, hanya kalau perlu- tetapi dengan hujjah hujjah yang teguh
3.      Elakkan dari menyentuh atau mencela diri perseorangan.
4.      Pohonkan hidayah dari Tuhan sebelum mulai berucap.
5.      Luruskan niat bahawa apa yang kita tujui hanyalah keredhaan Allah.
6.      Jangan lekas terlatah jika menerima serangan, lidah orang yang berakal terletak di hatinya, sedangkan hati orang yang bodoh terletak di lidahnya.
7.   Pemecahan satu-satu soal sedapat-dapatnya hendaklah diakhiri dengan memberi kesimpulan yang dapat dipegang oleh pendengar-pendengar sebagai intisari dari penerangan itu.
8.      Jangan bercakap sampai meleret-leret sehingga membosankan, sedikit tetapi kemas adalah lebih baik daripada banyak tetapi menjemukan.
9.  Segala percakapan hendaklah timbul dari hati dan bukanlah hanya merupakan permainan lidah semata-mata. Ketahuilah hanya yang dating dari hati sahaj yang akan diterima oleh hati.

SASARAN PENERANGAN

Yang menjadi matlamat kita dalam penerangan ialah hati pendengar bukan telinganya. Oleh itu, jangan memberi ucapan sekadar hanya untuk melepaskan angin atau sekadar hanya untuk memuaskan sentimen sahaja. Ketahuilah, yang memberi hidayah kepada manusia ialah Tuhan bukannya kita. Kewajipan kita hanyalah untuk menyampaikan. Jangan merasa sempit dada dan kecil hati kalau saranan kita ditolak oleh orang, kerana belum pernah satu perubahan terwujud dengan tiada melalui kekecewaan.

HASIL PENERANGAN

1.      Mendapat sambutan baik : kita bersyukur, terus berjihad menabur bakti
2.      Mendapat perlawanan : koreksi (baiki) kesalahan diri kita, kerana kadang-kadang perlawanan itu timbul bukan kerana tidak baiknya apa yang kita bawa, tetapi tidak kena cara membawanya, maka juga kadang-kadang menimbulkan penentangan yang hebat. Tetapi jika perlawanan itu datang dari nafsu memusuhi kebenaran, kita harus bersikap:

a.      Kalau ia akan menimbulkan fitnah, kita tidak boleh mendiamkan diri
b.      Kalau ia hanyalah ribut dalam cawan, kita harus bersikap tunggu dan lihat.

Dalam pada itu, jangan patah hati, kerana adat berburu ialah kena duri. Kita berani menegur, maka kita juga perlu berani kena tegur. Kita berani memukul, maka kita juga perlu berani kena pukul. Siapa yang takut dilanggar pasang, jangan berumah ditepi pantai.

JIWA (ROH) PENERANGAN

Yang kita tuju dengan penerangan ialah menegakkan kebenaran. Ketahuilah kebenaran tidak akan berdiri dengan kebatilan. Membela kebenaran mestilah dengan kebenaran. Kerana itu, yang menjadi roh penerangan kita ialah kalimatul-haq: haq yang mesti dibela dan batil yang mesti dirobohkan. Termasuklah dalam kalimatul-haq ini, selain daripada Al-Quran dan Al-Hadith Ialah kenyataan, sama ada kenyataan yang tersimpan di dalam lipatan sejarah atau kenyataan yang sekarang tengah berlaku dihadapan mata kita.

YANG MESTI DIJAUH DALAM PENERANGAN

1.      Mengobar-ngobarkan semangat semata-mata dengan tidak memberikan arahan yang tertentu (agitation)
2.      Membayangkan istana asap gunung tinggi seribu janji
3.      Menggunakan ugut-ugutan atau menakut nakutkan.

Hendaklah kau ajak orang ke jalan Allah dengan bijaksana, dengan peringatan yang ramah tamah dan bertukar fikiran dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya” [Surah Al-Nahl ayat 125]

TERLANJUR SURUT, TERLANGKAH KEMBALI

Sebagai manusia kita tidaklah maksum dari silap dan salah. Jika ada kata terlanjur, lutut terdorong, sama ada teguran datang atau tidak, kenalah kita menghela surut kepada Tuhan meminta ampun, kepada sesame manusia memohon maaf.

Akar tidak sekali tumbuh, fikiran tidak sekali datang.


*Diulang salin daripada buku Perjuangan Penuh Cabaran hasil karya Kamarul Zaman Hj Yusoff.


Monday 21 December 2015

POLITIK MENGUMPUL MAKSIAT JARIAH.


POLITIK PERSEPSI
Kata orang politik itu perang persepsi. Siapa dilihat baik walaupun jahat ianya dikira baik, dan siapa yang dilihat jahat walaupun baik, ianya dikira jahat. Inilah asas kepada politik persepsi. 

Begitu juga, jika mahu memberikan persepsi kepada musuh politik. Sudah pasti persepsi buruk akan diberikan kepada mereka yang namanya musuh politik. Jentera digerakkan untuk musuh politik itu dilihat hodoh dan buruk dalam arena politik negara. 

Sudah tiada kira samaada apa yang dibuat itu betul atau fitnah, yang penting rakyat melihat musuh politik itu sebagai seorang yang hodoh dan bodoh. Apa sahaja yang menghodohkan musuh politik, kita dengan pantas dan tangkas terus mengshare apa-apa berita. Ini suatu politik sampah.

Ianya sampah, kerana rakyat dididik berpersepsi dengan maklumat dan berita yang entah betul atau entah tidak. Maksudnya, asas persepsi itu dibina dengan asas yang rapuh dan meracuni cara fikir manusia. Benar atau salah itu bukan lagi kerana benar atau salah maklumat tapi asas benar dan salah bertukar kepada sosok tubuh atau siapa yang berbicara.

PESAN TUHAN BUAT PENGE"share"
Hari ini, pendokong parti politik, peminat politik dan rakyat marhaen sangat ketagih untuk share berita dan cerita yang tiada tahu benar atau salah. Asal sahaja berita itu boleh memburukkan musuh politik, ianya akan disebar tanpa rasa was was apatah lagi mahu rasa bersalah.

Sedangkan, Tuhan berpesan "Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya." [Al Isra' :36]

Ayat ini dijadikan ayat mula oleh Imam Nawawi dalam Riyadatul Shalihin pada bab Perlunya Mencari Kesahihan Dalam Apa Yang Diucapkan Atau Yang Diceritakan. Ibnu Abbas pula mengatakan "janganlah kamu mengikuti" itu bererti "janganlah kamu mengatakan". 

Hari ini terlalu dahsyat berita yang kita tiada pengetahuan dan tidak tahu kesahihannya yang disharekan tanpa segan silu. Asal sahaja berita itu punyai kepentingan politik, dengan lajunya ditekan button share. Ke mana budaya politik rakyat akan tertuju?

MAKSIAT JARIAH
Politik nilai dan politik ilmu sudah ditongsampahkan. Ianya hilang sebagaimana hilangnya mentari bila tiba waktu malam. Politik yang sepatutnya menerangi kehidupan dan cara fikir insan kini gelap gelita tanpa seurat cahaya. Ini bukan gaya politik Islam.

Ketika manusia bekejar-kejaran membuat amal jariah, nah, peminat politik pula bersemangat seharian bersama gadjet membesarkan maksiat jariah. Setiap kali manusia membaca berita palsu yang kita sebarkan tadi, selagi itulah dosanya menerjah timbangan amal kita nanti. Ini semua akan dipertanggungjawabkan nanti. Jangan ambil mudah.

Orang Islam berpolitik untuk menambah amal jariah sebagai pemberat untuk ke syurga bukannya maksiat jariah. Kerana itulah, Islam meletakkan asas yang cukup kukuh dalam sebaran maklumat ini. Sekiranya tiada kesahihan atau dibuktikan benar, umat Islam dilarang sama sekali untuk menyebarkannya.

Biarlah kita dilihat ketinggalan dalam hal ehwal politik sampah sebegini. Biarlah kita tidak dilihat sebagai hero yang mempertahankan parti atau fighter tegar. Apa guna bermasyhur dan menjadi fighter yang beriman dengan maklumat palsu. Yakinlah, apa yang ditaip itu akan dipertanggungjawabkan.

AKHIRNYA
Kata Abu Anas Madani, dalam keadaan sekarang kita perlu gunakan kaedah SEMUA BERITA DAN CERITA YANG DATANG ITU SEMUANYA BOHONG KECUALI DIBUKTIKAN BENAR. Insya Allah selamat. Mungkin berat untuk kita buat apatah lagi sebagai seorang peminat politik, namun politik yang kita amalkan ialah politik Islam dan politik matang bukan politik kemasyhuran dan politik syaitan. 

Begitu jua, jangan mudah simplistik dan generalize terhadap sebarang statement mahupun gambar. Suatu kebodohan saat bergambar dengan G25 atau ulama syiah, terus diletakkan mereka merupakan geng liberal dan fahaman syiah. Bila lihat gambar bersama UMNO apatah lagi sedondon maka terus disebut inilah penyatuan antara PAS dan UMNO. Atau bila ada sekelumit kecil ahli yang seakan ekstrem, dipukulrata semua ahli parti itu ekstremis atau sebaliknya. 

Nilailah dengan ilmu dan akal yang matang. Dapatkan sebetul-betul maklumat dan setepat tepatnya sebelum disebar atau diperkatakan. Tidak kira anda ahli parti mana, ayuhlah kita membina generasi yang berpolitik dengan ilmu dan politik nilai. 





Monday 2 November 2015

NYAH-KAN JIWA EKSTREMIST.

EKSTREMIST BUKAN PRO- ULAMA DAN PROFESIONAL

Ahli gerakan mahasiswa Islam perlu hindari tabiat ekstremist dalam gerakan Islam. Kehangatan muktamar PAS kali ke-61, sangat memberi kesan kepada ahli gerakan mahasiswa Islam, ditambah dengan kehadiran ekstremist dalam setiap kem. Hinggakan ada juga teman-teman yang turut serta mendendangkan ungkapan-ungkapan ekstremist-ekstremist ini.

Saya melihat, krisis yang terjadi dalam PAS ini bukanlah disebabkan oleh pertembungan antara pro-ulama dan pro-profesional, bahkan bukan juga pertembungan dua kem hijau dan merah. Namun pertembungan yang menyebabkan berlaku krisis ini merupakan pertembungan antara ekstremist dengan ekstremist.

Mereka mungkin berbeza kem, namun mereka punyai sikap yang menyatukan mereka iaitu ekstrem. Inilah kelompok yang membawa masalah dalam PAS. Nampak seperti bertentangan, namun sebenarnya mereka itu satu; ekstremist.

Kenapa saya mengatakan mereka satu? Kerana mereka menggunakan senjata yang sama iaitu fitnah dan label. Inilah senjata yang paling ampuh yang digunakan mereka. Satu pihak menggunakan fitnah dan label UG atau kuda UMNO, dan satu pihak menggunakan fitnah dan label JEBON atau munafik. Inilah perangai ekstremist dan inilah wirid dan zikir harian mereka.

Akhirnya yang tersepit dan terkepit diantara dua ekstremist ini ialah pimpinan-pimpinan PAS yang diblok-blokkan oleh kelompok ekstremist. Inilah kerja yang paling teruk dan dahsyat yang dilakukan oleh para ekstremist dalam PAS. Inilah kesatuan mereka.

Pembersihan perlu dilakukan bukan pada pro-ulama atau pro-profesional tapi perlu dijalankan kepada mereka yang ektremist ini. Mereka yang mengganggap kerjasama G to G antara Kelantan dan Persekutuan sebagai UG dan mereka yang menganggap berbeza pandangan dengan Presiden sebagai satu bentuk cubaan untuk menggulingkan Presiden perlu dibersihkan dalam PAS.

MAHASISWA ISLAM
Suasana semasa dalam PAS sedikit sebanyak mempengaruhi gerakan mahasiswa Islam terutamanya GAMIS itu sendiri. Hinggakan ada teman-teman mahasiswa yang sudah mula berani menggunakan istilah-istilah ekstremist dalam PAS diletakkan kepada sesama mahasiswa. Ini satu budaya yang busuk.

Ye, mereka ini kuat bunyinya,namun yakinlah mereka ini hanya sedikit. Golongan rasional dan waras dalam gerakan ini masih ramai, cumanya ramai yang mengambil pendekatan diam namun tidak bersetuju dengan ekstremist yang ada ini. Maka, golongan ini perlu berbunyi dan bukannya hanya diam kemudian terkepit diantara dua penggeselan ekstremist.

Sebagai contoh ekstremist, satu pihak bila melihat Hj Hanipa Maidin menangis ketika memberikan ucapan dituduh beliau sebagai berlakon. Satu pihak lagi, bila melihat Ust Nik Abduh mengghulurkan tisu dituduh pula beliau juga turut berlakon. Lihatlah kesatuan mereka ini.

Maka, golongan rasional melihat tuduhan ini sebagai satu perkara yang melucukan dan melihat kejadian tangis dan tisu ini sebagai satu perkara yang harmoni tanpa perlu diisu-isukan oleh para ektremist. Sekaligus menunjukkan para ekstremist yang berkobar-kobar menyatakan mereka sebagai pejuang Islam sebenarnya hanyalah satu lakonan dan mereka hanya mahu mengadu dombakan.

Mahasiswa Islam sepatutnya mengambil side ini. Bukannya menjadi penyambung lidah-lidah pemusnah ukhuwah dan rabithah yang kita pelihara selama ini. Lagi malang, kita membawa perkara ini dalam medan gerakan mahasiswa Islam. Berfikirlah secara rasional dan waras agar kita tidak terjebak dalam kelompok ekstremist dari mana-mana kem.

USAHA YANG PERLU DILAKUKAN

Penyusupan masuk golongan ektremist ini dalam gerakan mahasiswa islam mesti dinyahkan dengan kadar segera. Pembersihan fikrah dan cara fikir berlandaskan Al-Quran dan Sunnah perlu ditegaskan dan dikemaskan. Terutamanya fikrah dalam penerimaan maklumat mesti berlandaskan ayat Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 6,Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.. Jangan kita bermudah-mudah menerima maklumat yang datang dari sumber yang tidak pasti.

Penggunaan kaedah penerimaan hadis juga perlu diaplikasikan dalam kita menerima apa-apa berita dan maklumat seperti kaedah (اتصال سند) (berita yang sampai itu datang dari sumber primer) bukan orang kedua dan bukan orang ketiga. Kita juga perlu menolak segala maklumat dan berita yang datang dari orang yang tiada autoriti (ثقة) serta mereka yang tidak kita kenali (مجهول).

Golongan ektremist selalunya mudah terloncat-loncat untuk menyebarkan berita terutama berita yang boleh menjatuhkan pihak yang lain, walaupun berita itu tidak betul. Tapis dan sabarlah dalam menyebarkan sesuatu berita berdasarkan kaedah diatas.

Pemantapan Akhlak Islamiyyah, dalam tarbiah kita, akhlak merupakan perkara asas yang ditekankan dalam usrah. Perkara ini mesti dibangunkan secara bersungguh-sungguh oleh gerakan mahasiswa Islam. Kehebatan Islam itu pada akhlak yang baik, sehingga nabi mengulanginya sebanyak 3 kali bila ditanya oleh sahabat. Ketiadaan akhlak ini menyebabkan kita mudah untuk menyuluh kesalahan orang berbanding kesalahan diri sendiri.

Ini medan mahasiswa, kita punya Presiden yang mengepalai medan ini. Usahlah kita tergopoh gapah mendahului Presiden dalam tindakan kita sehingga mengacau perjalanan dan perancangan yang direncanakan oleh Presiden dan pimpinan dalam medan amal mahasiswa islam ini. Cukuplah orang-orang tua berperang dilautan merah jangan pula kita turut menyelam dan lemas dilautan sama, kita generasi muda buka lautan biru (Blue Ocean) yang lebih nyaman dan tenang untuk kita berlayar.

AKHIRNYA

Sebagai penutup, golongan ekstremist ini sangat bermasalah dalam hal agama, politik, HAM dan sebagainya. Usahlah kita terjebak dalam kancah golongan ini. Cuba kita laksanakan usaha-usaha yang dicadangkan diatas untuk kita menyahkan golongan ini daripada gerakan mahasiswa Islam. Kita mahu suasana yang lebih harmoni dan tenang dalam gerakan kita. Kita mahu kasih sayang dan cinta kita tidak lagi dirobek oleh golongan ekstremist ini.
Mahasiswa Islam, usah gopoh.

* tulisan lama 6 Jun 2015, sebelum muktamar PAS. Namun, terasa sangat ingin share sekali lagi. Agar kita tidak terjebak dalam pencaturan  dalam politik ekstreme ini.

Wednesday 28 October 2015

[MPP] di Universiti Tiada Nilai Menurut AUKU.



Pilihan Raya Kampus dari AUKU

Pilihan Raya Kampus bukanlah perkara yang baru dalam hidup seseorang yang bergelar mahasiswa. Kewujudan PRK ini adalah untuk memilih perwakilan pelajar bagi mengetuai sesebuah badan utama mahasiswa disesebuah universiti atau kolej universiti. Hal ini umum mengetahuinya. Pilihanraya Kampus juga selalu ditunggu-tunggu oleh aktivis mahasiswa dari pelbagai gerakan untuk beradu idea dan strategi taktikal mereka.

Permulaan semester pertama setiap tahun selalunya akan panas dengan proses pemilihan pemimpin mahasiswa di semua 20 buah Universiti Awam. Kehangatan PRK hanya akan dirasai apabila wujudnya pertembungan antara 2 front atau parti utama dalam kampus iaitu Pro Mahasiswa dan juga Pro Aspirasi.

PRK juga bukanlah wujud dalam setahun dua apatah lagi sedekad dua ini. Namun, kewujudan Pilihan Raya Kampus ini seusia dengan kewujudan AUKU 1971. Berdasarkan Seksyen 48 Subseksyen 2 (a) & (b). Memperuntukkan Pilihan Raya Kampus itu sesuatu yang perlu dijalankan oleh pihak Naib Canselor atau pentadbiran Universiti.

Majlis Perwakilan Pelajar
Seksyen 48                   
(2) Kesatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar-Pelajar (kemudian daripada ini dalam perlembagaan ini disebut “MPP”) mengikut cara yang berikut :

(a)   Pelajar berdaftar setiap fakulti, sekolah, pusat, akademi dan Institut hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh Dekan Fakulti atau Ketua Sekolah, Pusat, Akademi atau Institut mengikut mana-mana yang berkenaan, sebilangan pelajar berdaftar yang sama bilangannya daripada fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut itu untuk menjadi wakil dalam MPP, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor; dan

(b)   Pelajar berdaftar sebagai keseluruhan hendaklah memilih dengan undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil dalam MPP, dan bilangan  pelajar itu hendaklah, walau bagaimanapun tidak lebih daripada setengah daripada bilangan wakil yang dipilih dibawah perenggan (a).

Kewujudan Seksyen 48 dalam AUKU mewajibkan universiti perlu mewujudkan Majlis Perwakilan Pelajar, dan untuk mewujudkan MPP pihak universiti perlu mengadakan satu proses pemilihan dengan undi rahsia yang disebut pada hari ini sebagai pilihanraya kampus mengikut subseksyen 2 (a) (b). Maka, asas kewujudan pilihanraya kampus ini datang daripada AUKU itu sendiri.

Naib Canselor mempunyai kuasa melantik jawatankuasa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dan jawatankuasa itu mestilah dalam kalangan pegawai universiti itu sendiri. Perkara ini selalunya ditentang oleh mahasiswa kerana mereka menuntut agar Pilihan Raya Kampus itu dikendalikan sendiri oleh mahasiswa bukan pihak pentadbiran Universiti bagi mengelakkan kepentingan dan campur tangan pihak luar.

Kebimbangan terhadap campur tangan ini ada asasnya, kerana Naib Canselor yang berada di setiap universiti awam dan Timbalan Naib Canselor dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi. Sudah semestinya menteri itu merupakan seorang politikus yang tidak terlepas daripada mempunyai kepentingan tertentu terutamanya kepentingan parti yang didokonginya. Kegusaran  daripada campurtangan politik luar ini pernah diutarakan oleh saudari Muna Adila, selaku Timbalan Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS Pusat dalam Kongres Rakyat 2015;

“Hal ini akan menyebabkan pentadbir universiti tertinggi akan terikat dengan menteri yang melantik mereka, dan mereka juga akan merasa susah untuk membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan kerajaan. Jadi, kita kira kita menyokong bahawa perlunya universiti bebas daripada campur tangan politik, seksyen ini ataupun AUKU perlu dihapuskan.” (Muna Rime, Kongres Rakyat 2015).

Kuasa Menteri ini telah dijelaskan dalam AUKU Seksyen 9 (1) (7) dan (8).

Majlis Perwakilan Pelajar Mengikut AUKU

Setelah Pilihan Raya Kampus dijalankan oleh pegawai yang dilantik Naib Canselor, dan semua (majoriti) mahasiswa keluar mengundi, maka akan dikeluarkan keputusan calon-calon yang layak menjadi MPP. Perkara yang patut diketahui oleh semua penggerak parti politik dalam kampus dan juga semua mahasiswa, fungsi dan tujuan Majlis Perwakilan Pelajar adalah sangat terhad sebagaimana yang dijelaskan dalam AUKU Seksyen 48 Subsyeksen 10 :

(a)     memupuk semangat hidup sebagai suatu perbadanan di kalangan pelajar Universiti;

(b)     tertaluk kepada arahan Naib Canselor, menyusun dan menyelia kemudahan kebajikan pelajar di Universiti termasuk kemudahan rekreasi, aktiviti kerohanian dan keagamaan dan pembekalan makanan dan minuman;

(c)     membuat rayuan kepada Naib Canselor mengenai segala perkara yang berhubungan dengan atau berkenaan dengan keadaan hidup dan kerja pelajar Universiti;

(d)     diwakili dalam mana mana badan yang boleh, mengikut sesuatu Kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan aktiviti kebajikan pelajar di Universiti; dan

(e)     menjalankan apa-apa aktiviti lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

Jika merujuk kepada senarai fungsi yang ditetapkan dalam AUKU ini, dapat kita simpulkan MPP ini bukanlah sebagai satu kuasa yang dapat memperjuangkan hak mahasiswa dengan baik. Bahkan ianya mengesahkan bahawa mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar itu hanya penerima keputusan bukan sebagai satu entiti sebagai rakan pembuat keputusan dan dasar dalam sesebuah universiti. Maka, tiada bezanya MPP di Universiti dengan MPP atau badan pengawas di sekolah menengah dan sekolah rendah.

Gelaran YB Kampus yang diberikan kepada barisan MPP perlu dinilai semula, kerana YB yang dipilih sebagai pemimpin rakyat mempunyai kuasa untuk bersuara dalam membina dasar dan keputusan dalam negeri atau negara yang mereka bertanding dalamnya. Malangnya YB Kampus ini tiada daya fungsi tersebut dan hanya mampu gah pada namanya sahaja.

Paling sadis lagi, Majlis Perwakilan Pelajar ini perlu menjadi anak yang mesti bergantung kepada Naib Canselor. Paling ketara dalam sudut kewangan. MPP dihalang daripada menyelenggara bahkan dihalang daripada memungut wang dan harta dari mana-mana punca sekalipun. Semua perkara mesti mendapatkan kebenaran dan keizinan daripada Naib Canselor yang dilantik Mentari tadi. Perkara ini jelas disebutkan dalam Seksyen 48 Subsyeksen 11.

(11) Kesatuan atau MPP tidak boleh menyenggarakan apa-apa kumpulan wang atau membuat  apa-apa pemungutan wang atau harta dari apa-apa jua punca pun, tetapi apa-apa belanja yang berpatutan yang boleh dilakukan oleh MPP dengan terlebih dahulu dibenarkan secara bertulis oleh Naib Canselor boleh dibayar oleh Universiti jika tuntutan bertulis yang berpatutan yang disokong dengan resit dan baucar dikemukakan oleh MPP kepada Naib Canselor dan diluluskan oleh Naib Canselor

Maka, inilah hakikat sebuah Majlis Perwakilan Pelajar yang di’grand-design’kan oleh AUKU untuk diaplikasikan ke seluruh Universiti Awam di Malaysia. Maka, MPP itu bertindak tidak lebih hanya sebagai orang ikutan kepada pentadbir Universiti. Atau dalam bahasa yang mudah difahami lagi hanyalah sebagai “balaci” dan “macai” kepada Naib Canselor dan Menteri yang melantik.

Tidak cukup dengan fungsi dan kekangan yang diberikan, AUKU masih belum puas mengikat hidung mahasiswa apabila memperuntukkan satu lagi seksyen 51 yang bertajuk Perbuatan yang melampaui had kuasa Perlembagaan MPP atau sesuatu badan. Seksyen ini memberikan kuasa penuh kepada Lembaga Universiti untuk mengantung bahkan membuang mana-mana MPP yang bertindak mencemarkan nama baik universiti atas pendapat pihak Lembaga. Ertinya, MPP boleh dibuang dengan tuduhan mencemarkan nama baik Universiti berdasarkan pendapat Lembaga yang dianggotai oleh (a) Pengerusi (b) Naib Canselor (c) dua orang mewakili kerajaan (d) satu orang yang mewakili masyarakat tempat terletaknya Universiti itu; dan (e) tidak lebih daripada tiga orang yang dengan pengetahuan atau pengalaman mereka boleh, pada pendapat Menteri, membantu Lembaga, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka daripada sektor swasta.


Perbuatan yang melampaui had kuasa Perlembagaan MPP atau sesuatu badan
(1)    Jika Kesatuan atau MPP atau sesuatu badan pelajar yang ditubuhkan dibawah seksyen 47 menjalankan urusannya secara yang, pada pendapat Lembaga, boleh merosakkan atau memudaratkan kesentosaan atau nama baik Universiti atau melakukan perbuatan yang bersalahan dengan Perlembagaan Universiti atau Perlembagaanya sendiri, atau mana-mana statut, Kaedah atau peraturan Universiti, Lembaga boleh menggantung atau membubarkan Kesatuan atau MPP atau badan pelajar tersebut mengikut mana-mana yang berkenaan; dan dengan tidak menyentuh apa-apa tanggungan yang mungkin berbangkit dibawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa, tiap-tiap pemegang jawatan dalam kesatuan atau MPP atau badan pelajar tersebut, mengikut mana-mana yang berkenaan boleh dibuang daripada Universiti atau dikenakan apa-apa hukuman.

Jika boleh kita umpamakan, pemilihan MPP dari sudut AUKU ini tidak lebih seperti mahu memilih seekor lembu yang gagah berkuasa dalam kawanannya untuk dijadikan lembu yang membawa kereta lembu. Ianya dipaksa mengikut segala arahan dari sang pemandu. Jika ingkar, sudah pasti cemeti akan melayan ke tubuh badan lembu.

Bahkan, lembu yang gagah perkasa itu dilarang untuk meragut rumput dengan sendirinya, tapi mesti memakan dedak yang disediakan oleh sang pemandu. Kekuatan lembu yang gagah perkasa dalam kawanannya tadi, sedikit demi sedikit dipaksa menjadi lembu suruhan yang tiada daya melawan. Bahkan, leher lembu sudah berada pada hujung pisau sembelihan, jika mahu melawan dan mahu jadi lembu sejati, nescaya lembu tersebut akan menjadi korban.

Ternyata sudah ramai MPP dari Pro M yang menjadi korban angkara kerakusan pentaksub AUKU ini.


MPP Sejati

Bagi saya, MPP versi AUKU itu sangat memandulkan dan bukanlah membina pimpinan mahasiswa yang independen dan mempunyai jati diri sejati. MPP merupakan satu entiti yang sepatutnya sangat berpengaruh dan ada karismanya dalam setiap universiti. Dengan adanya AUKU, MPP itu sepertinya tiada nilai pada pihak pentadbiran dan mahasiswa.

Pertama, dari segi kuasa MPP selaku badan yang mewakili sektor yang majoriti di kampus sepatutnya diangkat setaraf dengan senat dalam kampus. Segala keputusan yang dikeluarkan oleh pentadbiran kampus dan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan dalam kampus terutamanya yang melibatkan mahasiswa mesti mendapatkan persetujuan dari MPP bukannya MPP sekadar entiti yang mendengar taklimat dan perlu bersetuju.

MPP mesti menjadi rakan pembangunan dan rakan pembuat keputusan dalam universiti. Bukan sekadar penerima dan pelaksana kepada pembangunan universiti. MPP bukanlah kontraktor dan bukan juga unit infrastuktur dalam kampus, tapi MPP merupakan kuasa penentu keputusan kepada kontraktor dan unit infrastuktur kampus untuk membangunkan Universiti.

MPP perlu mempunyai dana mereka sendiri dan boleh menyelenggara serta membuat pungutan wang dan harta dari mana-mana punca yang dirasakan oleh MPP mampu memberikan pulangan kepada mahasiswa. Biar MPP menentukan corak ekonomi mereka sendiri tanpa perlu terhegeh-hegeh merayu simpati kepada pentadbiran Universiti. Mereka bukan lagi budak kecil yang hanya pandai meminta-minta wang dari orang tua Naib Canselor.

MPP, bukan sahaja perlu mempunyai dana mereka sendiri, bahkan mereka perlu dilatih dan dididik untuk menguruskan aset sendiri. Aset ini bukanlah bermaksud bilik gerakan MPP semata-mata, tapi Aset yang melibatkan pengangkutan, hartanah, bangunan dan mungkin pelaburan-pelaburan dalam mana-mana sektor. Kita idamkan MPP mempunyai bas mereka sendiri dan mampu mengajikan pemandu bas sendiri bahkan mereka mempunyai bangunan atau rumah kedai untuk membangunkan ekonomi mahasiswa itu sendiri.

Biarkan mereka memerintah ‘mini negara’ mereka sendiri. Kehadiran Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor HEP tidak lebih menyebabkan negara mini ini berada dibawah kekuasaan monarki yang authoritarian. Semua perkara mesti mendapat perkenan NC dan TNC bahkan mesti mengadap sembah pula. Malaysia sebuah negara demokrasi, biarkan MPP mempraktikalkan sistem demokrasi itu dalam universiti sebagai ‘mini malaysia’. Demokrasi bukanlah sekadar Pilihan Raya Kampus semata-mata tapi ianya melibatkan proses-proses dalam menentukan dasar sesebuah negara mini.

Kedua, dari segi jawatankuasa pemilihan MPP. Campurtangan NC dan TNC dalam pemilihan atau Pilihan Raya Kampus ini mewujudkan kecurigaan kepada mahasiswa kerana NC dan TNC itu dilantik oleh orang politik yang mempunyai kepentingannya. Sebagaimana yang disebutkan diatas tadi. Tuntutan mahasiswa untuk mereka mengendalikan sendiri pilihanraya kampus mesti diberikan agar campur tangan politik luar itu tidak terjadi.

Jawatankuasa ini boleh melibatkan badan-badan pelajar yang ada di Universiti sebagai penggerak utamanya. Wakil dari badan-badan pelajar inilah yang akan mengendalikan pilihanraya kampus. Boleh dilantik pihak luar seperti SUHAKAM dan SPR sebagai penasihat atau pemerhati kepada jawatankuasa ini dalam menjamin ketelusan Pilihan Raya Kampus.

Ketiga, dari sudut suara mahasiswa. MPP sepatutnya  bukan hanya berperanan dalam kampus semata-mata. Suaranya bukan hanya valid dan berkuasa dalam kampus semata-mata. MPP patut turut serta dalam membina negara yang lebih baik untuk rakyat Malaysia dengan memberikan cadangan dan kritikal terhadap segala dasar yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah.

Dasar yang dibuat oleh kerajaan turut akan memberikan kesan kepada mahasiswa sebagai rakyat dalam sesebuah negara. Kebajikan mahasiswa dalam aspek nasional juga perlu diberikan perhatian oleh MPP. Kini, MPP masih takut untuk bersuara luar di dari kampus kerana kekangan-kekangan yang ada tadi. Sedangkan kesilapan kerajaan atau ketepatan kerajaan membuat keputusan akan memberikan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada mahasiswa juga.

Inilah perkara-perkara yang mahu dibawa oleh calon-calon Pro M bila mereka bergelar sebagai MPP. Menjadikan MPP itu kembali berfungsi sebagai badan mahasiswa yang berperanan dalam Universiti bukan menjadi MPP suruhan seperti lembu yang membawa kereta lembu. Namun, perjuangan untuk membawa MPP kepada dirinya yang sebenar bukanlah sesuatu yang mudah dengan halangan dan cabaran yang ada dari Menteri, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor hasil dari AUKU.

Pengalaman MPP Pro M dalam merubah hal-hal ini dibalas dengan jahat oleh pentadbiran Universiti. Seperti contoh Fahmi Zainol Presiden MPP UM digantung 2 semester, Hanif Mahpa Presiden MPP UIAM digantung 2 semester bersama Afiqah Zulkifli selaku Exco MPP dan Sallehuddin Presiden MPP UKM diberikan amaran keras dan didenda RM 100 bersama 12 lagi barisan pimpinan mahasiswa UKM.