Wednesday 28 October 2015

[MPP] di Universiti Tiada Nilai Menurut AUKU.



Pilihan Raya Kampus dari AUKU

Pilihan Raya Kampus bukanlah perkara yang baru dalam hidup seseorang yang bergelar mahasiswa. Kewujudan PRK ini adalah untuk memilih perwakilan pelajar bagi mengetuai sesebuah badan utama mahasiswa disesebuah universiti atau kolej universiti. Hal ini umum mengetahuinya. Pilihanraya Kampus juga selalu ditunggu-tunggu oleh aktivis mahasiswa dari pelbagai gerakan untuk beradu idea dan strategi taktikal mereka.

Permulaan semester pertama setiap tahun selalunya akan panas dengan proses pemilihan pemimpin mahasiswa di semua 20 buah Universiti Awam. Kehangatan PRK hanya akan dirasai apabila wujudnya pertembungan antara 2 front atau parti utama dalam kampus iaitu Pro Mahasiswa dan juga Pro Aspirasi.

PRK juga bukanlah wujud dalam setahun dua apatah lagi sedekad dua ini. Namun, kewujudan Pilihan Raya Kampus ini seusia dengan kewujudan AUKU 1971. Berdasarkan Seksyen 48 Subseksyen 2 (a) & (b). Memperuntukkan Pilihan Raya Kampus itu sesuatu yang perlu dijalankan oleh pihak Naib Canselor atau pentadbiran Universiti.

Majlis Perwakilan Pelajar
Seksyen 48                   
(2) Kesatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar-Pelajar (kemudian daripada ini dalam perlembagaan ini disebut “MPP”) mengikut cara yang berikut :

(a)   Pelajar berdaftar setiap fakulti, sekolah, pusat, akademi dan Institut hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh Dekan Fakulti atau Ketua Sekolah, Pusat, Akademi atau Institut mengikut mana-mana yang berkenaan, sebilangan pelajar berdaftar yang sama bilangannya daripada fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut itu untuk menjadi wakil dalam MPP, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor; dan

(b)   Pelajar berdaftar sebagai keseluruhan hendaklah memilih dengan undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil dalam MPP, dan bilangan  pelajar itu hendaklah, walau bagaimanapun tidak lebih daripada setengah daripada bilangan wakil yang dipilih dibawah perenggan (a).

Kewujudan Seksyen 48 dalam AUKU mewajibkan universiti perlu mewujudkan Majlis Perwakilan Pelajar, dan untuk mewujudkan MPP pihak universiti perlu mengadakan satu proses pemilihan dengan undi rahsia yang disebut pada hari ini sebagai pilihanraya kampus mengikut subseksyen 2 (a) (b). Maka, asas kewujudan pilihanraya kampus ini datang daripada AUKU itu sendiri.

Naib Canselor mempunyai kuasa melantik jawatankuasa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dan jawatankuasa itu mestilah dalam kalangan pegawai universiti itu sendiri. Perkara ini selalunya ditentang oleh mahasiswa kerana mereka menuntut agar Pilihan Raya Kampus itu dikendalikan sendiri oleh mahasiswa bukan pihak pentadbiran Universiti bagi mengelakkan kepentingan dan campur tangan pihak luar.

Kebimbangan terhadap campur tangan ini ada asasnya, kerana Naib Canselor yang berada di setiap universiti awam dan Timbalan Naib Canselor dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi. Sudah semestinya menteri itu merupakan seorang politikus yang tidak terlepas daripada mempunyai kepentingan tertentu terutamanya kepentingan parti yang didokonginya. Kegusaran  daripada campurtangan politik luar ini pernah diutarakan oleh saudari Muna Adila, selaku Timbalan Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS Pusat dalam Kongres Rakyat 2015;

“Hal ini akan menyebabkan pentadbir universiti tertinggi akan terikat dengan menteri yang melantik mereka, dan mereka juga akan merasa susah untuk membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan kerajaan. Jadi, kita kira kita menyokong bahawa perlunya universiti bebas daripada campur tangan politik, seksyen ini ataupun AUKU perlu dihapuskan.” (Muna Rime, Kongres Rakyat 2015).

Kuasa Menteri ini telah dijelaskan dalam AUKU Seksyen 9 (1) (7) dan (8).

Majlis Perwakilan Pelajar Mengikut AUKU

Setelah Pilihan Raya Kampus dijalankan oleh pegawai yang dilantik Naib Canselor, dan semua (majoriti) mahasiswa keluar mengundi, maka akan dikeluarkan keputusan calon-calon yang layak menjadi MPP. Perkara yang patut diketahui oleh semua penggerak parti politik dalam kampus dan juga semua mahasiswa, fungsi dan tujuan Majlis Perwakilan Pelajar adalah sangat terhad sebagaimana yang dijelaskan dalam AUKU Seksyen 48 Subsyeksen 10 :

(a)     memupuk semangat hidup sebagai suatu perbadanan di kalangan pelajar Universiti;

(b)     tertaluk kepada arahan Naib Canselor, menyusun dan menyelia kemudahan kebajikan pelajar di Universiti termasuk kemudahan rekreasi, aktiviti kerohanian dan keagamaan dan pembekalan makanan dan minuman;

(c)     membuat rayuan kepada Naib Canselor mengenai segala perkara yang berhubungan dengan atau berkenaan dengan keadaan hidup dan kerja pelajar Universiti;

(d)     diwakili dalam mana mana badan yang boleh, mengikut sesuatu Kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan aktiviti kebajikan pelajar di Universiti; dan

(e)     menjalankan apa-apa aktiviti lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

Jika merujuk kepada senarai fungsi yang ditetapkan dalam AUKU ini, dapat kita simpulkan MPP ini bukanlah sebagai satu kuasa yang dapat memperjuangkan hak mahasiswa dengan baik. Bahkan ianya mengesahkan bahawa mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar itu hanya penerima keputusan bukan sebagai satu entiti sebagai rakan pembuat keputusan dan dasar dalam sesebuah universiti. Maka, tiada bezanya MPP di Universiti dengan MPP atau badan pengawas di sekolah menengah dan sekolah rendah.

Gelaran YB Kampus yang diberikan kepada barisan MPP perlu dinilai semula, kerana YB yang dipilih sebagai pemimpin rakyat mempunyai kuasa untuk bersuara dalam membina dasar dan keputusan dalam negeri atau negara yang mereka bertanding dalamnya. Malangnya YB Kampus ini tiada daya fungsi tersebut dan hanya mampu gah pada namanya sahaja.

Paling sadis lagi, Majlis Perwakilan Pelajar ini perlu menjadi anak yang mesti bergantung kepada Naib Canselor. Paling ketara dalam sudut kewangan. MPP dihalang daripada menyelenggara bahkan dihalang daripada memungut wang dan harta dari mana-mana punca sekalipun. Semua perkara mesti mendapatkan kebenaran dan keizinan daripada Naib Canselor yang dilantik Mentari tadi. Perkara ini jelas disebutkan dalam Seksyen 48 Subsyeksen 11.

(11) Kesatuan atau MPP tidak boleh menyenggarakan apa-apa kumpulan wang atau membuat  apa-apa pemungutan wang atau harta dari apa-apa jua punca pun, tetapi apa-apa belanja yang berpatutan yang boleh dilakukan oleh MPP dengan terlebih dahulu dibenarkan secara bertulis oleh Naib Canselor boleh dibayar oleh Universiti jika tuntutan bertulis yang berpatutan yang disokong dengan resit dan baucar dikemukakan oleh MPP kepada Naib Canselor dan diluluskan oleh Naib Canselor

Maka, inilah hakikat sebuah Majlis Perwakilan Pelajar yang di’grand-design’kan oleh AUKU untuk diaplikasikan ke seluruh Universiti Awam di Malaysia. Maka, MPP itu bertindak tidak lebih hanya sebagai orang ikutan kepada pentadbir Universiti. Atau dalam bahasa yang mudah difahami lagi hanyalah sebagai “balaci” dan “macai” kepada Naib Canselor dan Menteri yang melantik.

Tidak cukup dengan fungsi dan kekangan yang diberikan, AUKU masih belum puas mengikat hidung mahasiswa apabila memperuntukkan satu lagi seksyen 51 yang bertajuk Perbuatan yang melampaui had kuasa Perlembagaan MPP atau sesuatu badan. Seksyen ini memberikan kuasa penuh kepada Lembaga Universiti untuk mengantung bahkan membuang mana-mana MPP yang bertindak mencemarkan nama baik universiti atas pendapat pihak Lembaga. Ertinya, MPP boleh dibuang dengan tuduhan mencemarkan nama baik Universiti berdasarkan pendapat Lembaga yang dianggotai oleh (a) Pengerusi (b) Naib Canselor (c) dua orang mewakili kerajaan (d) satu orang yang mewakili masyarakat tempat terletaknya Universiti itu; dan (e) tidak lebih daripada tiga orang yang dengan pengetahuan atau pengalaman mereka boleh, pada pendapat Menteri, membantu Lembaga, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka daripada sektor swasta.


Perbuatan yang melampaui had kuasa Perlembagaan MPP atau sesuatu badan
(1)    Jika Kesatuan atau MPP atau sesuatu badan pelajar yang ditubuhkan dibawah seksyen 47 menjalankan urusannya secara yang, pada pendapat Lembaga, boleh merosakkan atau memudaratkan kesentosaan atau nama baik Universiti atau melakukan perbuatan yang bersalahan dengan Perlembagaan Universiti atau Perlembagaanya sendiri, atau mana-mana statut, Kaedah atau peraturan Universiti, Lembaga boleh menggantung atau membubarkan Kesatuan atau MPP atau badan pelajar tersebut mengikut mana-mana yang berkenaan; dan dengan tidak menyentuh apa-apa tanggungan yang mungkin berbangkit dibawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa, tiap-tiap pemegang jawatan dalam kesatuan atau MPP atau badan pelajar tersebut, mengikut mana-mana yang berkenaan boleh dibuang daripada Universiti atau dikenakan apa-apa hukuman.

Jika boleh kita umpamakan, pemilihan MPP dari sudut AUKU ini tidak lebih seperti mahu memilih seekor lembu yang gagah berkuasa dalam kawanannya untuk dijadikan lembu yang membawa kereta lembu. Ianya dipaksa mengikut segala arahan dari sang pemandu. Jika ingkar, sudah pasti cemeti akan melayan ke tubuh badan lembu.

Bahkan, lembu yang gagah perkasa itu dilarang untuk meragut rumput dengan sendirinya, tapi mesti memakan dedak yang disediakan oleh sang pemandu. Kekuatan lembu yang gagah perkasa dalam kawanannya tadi, sedikit demi sedikit dipaksa menjadi lembu suruhan yang tiada daya melawan. Bahkan, leher lembu sudah berada pada hujung pisau sembelihan, jika mahu melawan dan mahu jadi lembu sejati, nescaya lembu tersebut akan menjadi korban.

Ternyata sudah ramai MPP dari Pro M yang menjadi korban angkara kerakusan pentaksub AUKU ini.


MPP Sejati

Bagi saya, MPP versi AUKU itu sangat memandulkan dan bukanlah membina pimpinan mahasiswa yang independen dan mempunyai jati diri sejati. MPP merupakan satu entiti yang sepatutnya sangat berpengaruh dan ada karismanya dalam setiap universiti. Dengan adanya AUKU, MPP itu sepertinya tiada nilai pada pihak pentadbiran dan mahasiswa.

Pertama, dari segi kuasa MPP selaku badan yang mewakili sektor yang majoriti di kampus sepatutnya diangkat setaraf dengan senat dalam kampus. Segala keputusan yang dikeluarkan oleh pentadbiran kampus dan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan dalam kampus terutamanya yang melibatkan mahasiswa mesti mendapatkan persetujuan dari MPP bukannya MPP sekadar entiti yang mendengar taklimat dan perlu bersetuju.

MPP mesti menjadi rakan pembangunan dan rakan pembuat keputusan dalam universiti. Bukan sekadar penerima dan pelaksana kepada pembangunan universiti. MPP bukanlah kontraktor dan bukan juga unit infrastuktur dalam kampus, tapi MPP merupakan kuasa penentu keputusan kepada kontraktor dan unit infrastuktur kampus untuk membangunkan Universiti.

MPP perlu mempunyai dana mereka sendiri dan boleh menyelenggara serta membuat pungutan wang dan harta dari mana-mana punca yang dirasakan oleh MPP mampu memberikan pulangan kepada mahasiswa. Biar MPP menentukan corak ekonomi mereka sendiri tanpa perlu terhegeh-hegeh merayu simpati kepada pentadbiran Universiti. Mereka bukan lagi budak kecil yang hanya pandai meminta-minta wang dari orang tua Naib Canselor.

MPP, bukan sahaja perlu mempunyai dana mereka sendiri, bahkan mereka perlu dilatih dan dididik untuk menguruskan aset sendiri. Aset ini bukanlah bermaksud bilik gerakan MPP semata-mata, tapi Aset yang melibatkan pengangkutan, hartanah, bangunan dan mungkin pelaburan-pelaburan dalam mana-mana sektor. Kita idamkan MPP mempunyai bas mereka sendiri dan mampu mengajikan pemandu bas sendiri bahkan mereka mempunyai bangunan atau rumah kedai untuk membangunkan ekonomi mahasiswa itu sendiri.

Biarkan mereka memerintah ‘mini negara’ mereka sendiri. Kehadiran Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor HEP tidak lebih menyebabkan negara mini ini berada dibawah kekuasaan monarki yang authoritarian. Semua perkara mesti mendapat perkenan NC dan TNC bahkan mesti mengadap sembah pula. Malaysia sebuah negara demokrasi, biarkan MPP mempraktikalkan sistem demokrasi itu dalam universiti sebagai ‘mini malaysia’. Demokrasi bukanlah sekadar Pilihan Raya Kampus semata-mata tapi ianya melibatkan proses-proses dalam menentukan dasar sesebuah negara mini.

Kedua, dari segi jawatankuasa pemilihan MPP. Campurtangan NC dan TNC dalam pemilihan atau Pilihan Raya Kampus ini mewujudkan kecurigaan kepada mahasiswa kerana NC dan TNC itu dilantik oleh orang politik yang mempunyai kepentingannya. Sebagaimana yang disebutkan diatas tadi. Tuntutan mahasiswa untuk mereka mengendalikan sendiri pilihanraya kampus mesti diberikan agar campur tangan politik luar itu tidak terjadi.

Jawatankuasa ini boleh melibatkan badan-badan pelajar yang ada di Universiti sebagai penggerak utamanya. Wakil dari badan-badan pelajar inilah yang akan mengendalikan pilihanraya kampus. Boleh dilantik pihak luar seperti SUHAKAM dan SPR sebagai penasihat atau pemerhati kepada jawatankuasa ini dalam menjamin ketelusan Pilihan Raya Kampus.

Ketiga, dari sudut suara mahasiswa. MPP sepatutnya  bukan hanya berperanan dalam kampus semata-mata. Suaranya bukan hanya valid dan berkuasa dalam kampus semata-mata. MPP patut turut serta dalam membina negara yang lebih baik untuk rakyat Malaysia dengan memberikan cadangan dan kritikal terhadap segala dasar yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah.

Dasar yang dibuat oleh kerajaan turut akan memberikan kesan kepada mahasiswa sebagai rakyat dalam sesebuah negara. Kebajikan mahasiswa dalam aspek nasional juga perlu diberikan perhatian oleh MPP. Kini, MPP masih takut untuk bersuara luar di dari kampus kerana kekangan-kekangan yang ada tadi. Sedangkan kesilapan kerajaan atau ketepatan kerajaan membuat keputusan akan memberikan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada mahasiswa juga.

Inilah perkara-perkara yang mahu dibawa oleh calon-calon Pro M bila mereka bergelar sebagai MPP. Menjadikan MPP itu kembali berfungsi sebagai badan mahasiswa yang berperanan dalam Universiti bukan menjadi MPP suruhan seperti lembu yang membawa kereta lembu. Namun, perjuangan untuk membawa MPP kepada dirinya yang sebenar bukanlah sesuatu yang mudah dengan halangan dan cabaran yang ada dari Menteri, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor hasil dari AUKU.

Pengalaman MPP Pro M dalam merubah hal-hal ini dibalas dengan jahat oleh pentadbiran Universiti. Seperti contoh Fahmi Zainol Presiden MPP UM digantung 2 semester, Hanif Mahpa Presiden MPP UIAM digantung 2 semester bersama Afiqah Zulkifli selaku Exco MPP dan Sallehuddin Presiden MPP UKM diberikan amaran keras dan didenda RM 100 bersama 12 lagi barisan pimpinan mahasiswa UKM.



No comments:

Post a Comment