Monday 21 December 2015

POLITIK MENGUMPUL MAKSIAT JARIAH.


POLITIK PERSEPSI
Kata orang politik itu perang persepsi. Siapa dilihat baik walaupun jahat ianya dikira baik, dan siapa yang dilihat jahat walaupun baik, ianya dikira jahat. Inilah asas kepada politik persepsi. 

Begitu juga, jika mahu memberikan persepsi kepada musuh politik. Sudah pasti persepsi buruk akan diberikan kepada mereka yang namanya musuh politik. Jentera digerakkan untuk musuh politik itu dilihat hodoh dan buruk dalam arena politik negara. 

Sudah tiada kira samaada apa yang dibuat itu betul atau fitnah, yang penting rakyat melihat musuh politik itu sebagai seorang yang hodoh dan bodoh. Apa sahaja yang menghodohkan musuh politik, kita dengan pantas dan tangkas terus mengshare apa-apa berita. Ini suatu politik sampah.

Ianya sampah, kerana rakyat dididik berpersepsi dengan maklumat dan berita yang entah betul atau entah tidak. Maksudnya, asas persepsi itu dibina dengan asas yang rapuh dan meracuni cara fikir manusia. Benar atau salah itu bukan lagi kerana benar atau salah maklumat tapi asas benar dan salah bertukar kepada sosok tubuh atau siapa yang berbicara.

PESAN TUHAN BUAT PENGE"share"
Hari ini, pendokong parti politik, peminat politik dan rakyat marhaen sangat ketagih untuk share berita dan cerita yang tiada tahu benar atau salah. Asal sahaja berita itu boleh memburukkan musuh politik, ianya akan disebar tanpa rasa was was apatah lagi mahu rasa bersalah.

Sedangkan, Tuhan berpesan "Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya." [Al Isra' :36]

Ayat ini dijadikan ayat mula oleh Imam Nawawi dalam Riyadatul Shalihin pada bab Perlunya Mencari Kesahihan Dalam Apa Yang Diucapkan Atau Yang Diceritakan. Ibnu Abbas pula mengatakan "janganlah kamu mengikuti" itu bererti "janganlah kamu mengatakan". 

Hari ini terlalu dahsyat berita yang kita tiada pengetahuan dan tidak tahu kesahihannya yang disharekan tanpa segan silu. Asal sahaja berita itu punyai kepentingan politik, dengan lajunya ditekan button share. Ke mana budaya politik rakyat akan tertuju?

MAKSIAT JARIAH
Politik nilai dan politik ilmu sudah ditongsampahkan. Ianya hilang sebagaimana hilangnya mentari bila tiba waktu malam. Politik yang sepatutnya menerangi kehidupan dan cara fikir insan kini gelap gelita tanpa seurat cahaya. Ini bukan gaya politik Islam.

Ketika manusia bekejar-kejaran membuat amal jariah, nah, peminat politik pula bersemangat seharian bersama gadjet membesarkan maksiat jariah. Setiap kali manusia membaca berita palsu yang kita sebarkan tadi, selagi itulah dosanya menerjah timbangan amal kita nanti. Ini semua akan dipertanggungjawabkan nanti. Jangan ambil mudah.

Orang Islam berpolitik untuk menambah amal jariah sebagai pemberat untuk ke syurga bukannya maksiat jariah. Kerana itulah, Islam meletakkan asas yang cukup kukuh dalam sebaran maklumat ini. Sekiranya tiada kesahihan atau dibuktikan benar, umat Islam dilarang sama sekali untuk menyebarkannya.

Biarlah kita dilihat ketinggalan dalam hal ehwal politik sampah sebegini. Biarlah kita tidak dilihat sebagai hero yang mempertahankan parti atau fighter tegar. Apa guna bermasyhur dan menjadi fighter yang beriman dengan maklumat palsu. Yakinlah, apa yang ditaip itu akan dipertanggungjawabkan.

AKHIRNYA
Kata Abu Anas Madani, dalam keadaan sekarang kita perlu gunakan kaedah SEMUA BERITA DAN CERITA YANG DATANG ITU SEMUANYA BOHONG KECUALI DIBUKTIKAN BENAR. Insya Allah selamat. Mungkin berat untuk kita buat apatah lagi sebagai seorang peminat politik, namun politik yang kita amalkan ialah politik Islam dan politik matang bukan politik kemasyhuran dan politik syaitan. 

Begitu jua, jangan mudah simplistik dan generalize terhadap sebarang statement mahupun gambar. Suatu kebodohan saat bergambar dengan G25 atau ulama syiah, terus diletakkan mereka merupakan geng liberal dan fahaman syiah. Bila lihat gambar bersama UMNO apatah lagi sedondon maka terus disebut inilah penyatuan antara PAS dan UMNO. Atau bila ada sekelumit kecil ahli yang seakan ekstrem, dipukulrata semua ahli parti itu ekstremis atau sebaliknya. 

Nilailah dengan ilmu dan akal yang matang. Dapatkan sebetul-betul maklumat dan setepat tepatnya sebelum disebar atau diperkatakan. Tidak kira anda ahli parti mana, ayuhlah kita membina generasi yang berpolitik dengan ilmu dan politik nilai. 





No comments:

Post a Comment