Pilihan Raya
Kampus dari AUKU
Pilihan Raya Kampus bukanlah
perkara yang baru dalam hidup seseorang yang bergelar mahasiswa. Kewujudan PRK
ini adalah untuk memilih perwakilan pelajar bagi mengetuai sesebuah badan utama
mahasiswa disesebuah universiti atau kolej universiti. Hal ini umum
mengetahuinya. Pilihanraya Kampus juga selalu ditunggu-tunggu oleh aktivis
mahasiswa dari pelbagai gerakan untuk beradu idea dan strategi taktikal mereka.
Permulaan semester pertama
setiap tahun selalunya akan panas dengan proses pemilihan pemimpin mahasiswa di
semua 20 buah Universiti Awam. Kehangatan PRK hanya akan dirasai apabila
wujudnya pertembungan antara 2 front atau parti utama dalam kampus iaitu Pro
Mahasiswa dan juga Pro Aspirasi.
PRK juga bukanlah wujud dalam
setahun dua apatah lagi sedekad dua ini. Namun, kewujudan Pilihan Raya Kampus
ini seusia dengan kewujudan AUKU 1971. Berdasarkan Seksyen 48 Subseksyen 2 (a) &
(b). Memperuntukkan Pilihan Raya Kampus itu sesuatu yang perlu dijalankan oleh
pihak Naib Canselor atau pentadbiran Universiti.
Majlis Perwakilan Pelajar
Seksyen 48
(2) Kesatuan hendaklah memilih suatu Majlis
Perwakilan Pelajar-Pelajar (kemudian daripada ini dalam perlembagaan ini
disebut “MPP”) mengikut cara yang berikut :
(a)
Pelajar berdaftar setiap fakulti, sekolah, pusat, akademi dan Institut
hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh Dekan Fakulti atau
Ketua Sekolah, Pusat, Akademi atau Institut mengikut mana-mana yang berkenaan,
sebilangan pelajar berdaftar yang sama bilangannya daripada fakulti, Sekolah,
Pusat, Akademi dan Institut itu untuk menjadi wakil dalam MPP, sebagaimana yang
ditentukan oleh Naib Canselor; dan
(b)
Pelajar berdaftar sebagai keseluruhan hendaklah memilih dengan undi rahsia
yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi
maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar mengikut sebagaimana yang
ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil dalam MPP, dan bilangan pelajar itu hendaklah, walau bagaimanapun
tidak lebih daripada setengah daripada bilangan wakil yang dipilih dibawah
perenggan (a).
Kewujudan Seksyen 48 dalam
AUKU mewajibkan universiti perlu mewujudkan Majlis Perwakilan Pelajar, dan
untuk mewujudkan MPP pihak universiti perlu mengadakan satu proses pemilihan
dengan undi rahsia yang disebut pada hari ini sebagai pilihanraya kampus
mengikut subseksyen 2 (a) (b). Maka, asas kewujudan pilihanraya kampus ini
datang daripada AUKU itu sendiri.
Naib Canselor mempunyai kuasa
melantik jawatankuasa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dan jawatankuasa itu
mestilah dalam kalangan pegawai universiti itu sendiri. Perkara ini selalunya
ditentang oleh mahasiswa kerana mereka menuntut agar Pilihan Raya Kampus itu
dikendalikan sendiri oleh mahasiswa bukan pihak pentadbiran Universiti bagi
mengelakkan kepentingan dan campur tangan pihak luar.
Kebimbangan terhadap campur
tangan ini ada asasnya, kerana Naib Canselor yang berada di setiap universiti
awam dan Timbalan Naib Canselor dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi. Sudah
semestinya menteri itu merupakan seorang politikus yang tidak terlepas daripada
mempunyai kepentingan tertentu terutamanya kepentingan parti yang didokonginya.
Kegusaran daripada campurtangan politik
luar ini pernah diutarakan oleh saudari Muna Adila, selaku Timbalan Pengerusi
Majlis Politik Nasional GAMIS Pusat dalam Kongres Rakyat 2015;
“Hal ini akan menyebabkan pentadbir universiti
tertinggi akan terikat dengan menteri yang melantik mereka, dan mereka juga
akan merasa susah untuk membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan
kerajaan. Jadi, kita kira kita menyokong bahawa perlunya universiti bebas
daripada campur tangan politik, seksyen ini ataupun AUKU perlu dihapuskan.” (Muna Rime, Kongres Rakyat 2015).
Kuasa Menteri ini telah dijelaskan dalam AUKU Seksyen 9
(1) (7) dan (8).
Majlis
Perwakilan Pelajar Mengikut AUKU
Setelah Pilihan Raya Kampus dijalankan
oleh pegawai yang dilantik Naib Canselor, dan semua (majoriti) mahasiswa keluar
mengundi, maka akan dikeluarkan keputusan calon-calon yang layak menjadi MPP.
Perkara yang patut diketahui oleh semua penggerak parti politik dalam kampus
dan juga semua mahasiswa, fungsi dan tujuan Majlis Perwakilan Pelajar adalah
sangat terhad sebagaimana yang dijelaskan dalam AUKU Seksyen 48 Subsyeksen 10 :
(a)
memupuk semangat hidup sebagai suatu perbadanan di kalangan
pelajar Universiti;
(b)
tertaluk kepada arahan Naib Canselor, menyusun dan menyelia
kemudahan kebajikan pelajar di Universiti termasuk kemudahan rekreasi, aktiviti
kerohanian dan keagamaan dan pembekalan makanan dan minuman;
(c)
membuat rayuan kepada Naib Canselor mengenai segala perkara yang
berhubungan dengan atau berkenaan dengan keadaan hidup dan kerja pelajar
Universiti;
(d)
diwakili dalam mana mana badan yang boleh, mengikut sesuatu
Kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan
aktiviti kebajikan pelajar di Universiti; dan
(e)
menjalankan apa-apa aktiviti lain sebagaimana yang ditetapkan
oleh Lembaga dari semasa ke semasa.
Jika merujuk kepada senarai
fungsi yang ditetapkan dalam AUKU ini, dapat kita simpulkan MPP ini bukanlah
sebagai satu kuasa yang dapat memperjuangkan hak mahasiswa dengan baik. Bahkan
ianya mengesahkan bahawa mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar itu hanya
penerima keputusan bukan sebagai satu entiti sebagai rakan pembuat keputusan
dan dasar dalam sesebuah universiti. Maka, tiada bezanya MPP di Universiti dengan
MPP atau badan pengawas di sekolah menengah dan sekolah rendah.
Gelaran YB Kampus yang diberikan
kepada barisan MPP perlu dinilai semula, kerana YB yang dipilih sebagai
pemimpin rakyat mempunyai kuasa untuk bersuara dalam membina dasar dan keputusan
dalam negeri atau negara yang mereka bertanding dalamnya. Malangnya YB Kampus
ini tiada daya fungsi tersebut dan hanya mampu gah pada namanya sahaja.
Paling sadis lagi, Majlis
Perwakilan Pelajar ini perlu menjadi anak yang mesti bergantung kepada Naib Canselor.
Paling ketara dalam sudut kewangan. MPP dihalang daripada menyelenggara bahkan
dihalang daripada memungut wang dan harta dari mana-mana punca sekalipun. Semua
perkara mesti mendapatkan kebenaran dan keizinan daripada Naib Canselor yang dilantik
Mentari tadi. Perkara ini jelas disebutkan dalam Seksyen 48 Subsyeksen 11.
(11) Kesatuan atau MPP tidak boleh menyenggarakan
apa-apa kumpulan wang atau membuat apa-apa
pemungutan wang atau harta dari apa-apa jua punca pun, tetapi apa-apa belanja yang
berpatutan yang boleh dilakukan oleh MPP dengan terlebih dahulu dibenarkan
secara bertulis oleh Naib Canselor boleh dibayar oleh Universiti jika tuntutan
bertulis yang berpatutan yang disokong dengan resit dan baucar dikemukakan oleh
MPP kepada Naib Canselor dan diluluskan oleh Naib Canselor
Maka, inilah hakikat sebuah
Majlis Perwakilan Pelajar yang di’grand-design’kan oleh AUKU untuk
diaplikasikan ke seluruh Universiti Awam di Malaysia. Maka, MPP itu bertindak
tidak lebih hanya sebagai orang ikutan kepada pentadbir Universiti. Atau dalam
bahasa yang mudah difahami lagi hanyalah sebagai “balaci” dan “macai” kepada
Naib Canselor dan Menteri yang melantik.
Tidak cukup dengan fungsi dan
kekangan yang diberikan, AUKU masih belum puas mengikat hidung mahasiswa
apabila memperuntukkan satu lagi seksyen 51 yang bertajuk Perbuatan yang melampaui had kuasa Perlembagaan MPP atau sesuatu badan.
Seksyen ini memberikan kuasa penuh kepada Lembaga Universiti untuk
mengantung bahkan membuang mana-mana MPP yang bertindak mencemarkan nama baik
universiti atas pendapat pihak Lembaga. Ertinya, MPP boleh dibuang dengan
tuduhan mencemarkan nama baik Universiti berdasarkan pendapat Lembaga yang
dianggotai oleh (a) Pengerusi (b) Naib
Canselor (c) dua orang mewakili kerajaan
(d) satu orang yang mewakili masyarakat tempat terletaknya Universiti itu;
dan (e) tidak lebih daripada tiga orang yang dengan pengetahuan atau pengalaman
mereka boleh, pada pendapat Menteri,
membantu Lembaga, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka daripada sektor
swasta.
Perbuatan yang melampaui had kuasa
Perlembagaan MPP atau sesuatu badan
(1)
Jika Kesatuan atau MPP atau sesuatu badan pelajar yang ditubuhkan
dibawah seksyen 47 menjalankan urusannya secara yang, pada pendapat Lembaga, boleh merosakkan atau memudaratkan
kesentosaan atau nama baik
Universiti atau melakukan perbuatan yang bersalahan dengan Perlembagaan
Universiti atau Perlembagaanya sendiri, atau mana-mana statut, Kaedah atau
peraturan Universiti, Lembaga boleh menggantung
atau membubarkan Kesatuan atau MPP atau badan pelajar tersebut mengikut
mana-mana yang berkenaan; dan dengan tidak menyentuh apa-apa tanggungan yang
mungkin berbangkit dibawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berkuat
kuasa, tiap-tiap pemegang jawatan dalam kesatuan atau MPP atau badan pelajar
tersebut, mengikut mana-mana yang berkenaan boleh dibuang daripada Universiti atau dikenakan apa-apa hukuman.
Jika boleh kita umpamakan,
pemilihan MPP dari sudut AUKU ini tidak lebih seperti mahu memilih seekor lembu
yang gagah berkuasa dalam kawanannya untuk dijadikan lembu yang membawa kereta
lembu. Ianya dipaksa mengikut segala arahan dari sang pemandu. Jika ingkar,
sudah pasti cemeti akan melayan ke tubuh badan lembu.
Bahkan, lembu yang gagah
perkasa itu dilarang untuk meragut rumput dengan sendirinya, tapi mesti memakan
dedak yang disediakan oleh sang pemandu. Kekuatan lembu yang gagah perkasa
dalam kawanannya tadi, sedikit demi sedikit dipaksa menjadi lembu suruhan yang
tiada daya melawan. Bahkan, leher lembu sudah berada pada hujung pisau
sembelihan, jika mahu melawan dan mahu jadi lembu sejati, nescaya lembu
tersebut akan menjadi korban.
Ternyata sudah ramai MPP dari
Pro M yang menjadi korban angkara kerakusan pentaksub AUKU ini.
MPP Sejati
Bagi saya, MPP versi AUKU itu
sangat memandulkan dan bukanlah membina pimpinan mahasiswa yang independen dan
mempunyai jati diri sejati. MPP merupakan satu entiti yang sepatutnya sangat
berpengaruh dan ada karismanya dalam setiap universiti. Dengan adanya AUKU, MPP
itu sepertinya tiada nilai pada pihak pentadbiran dan mahasiswa.
Pertama, dari segi kuasa MPP
selaku badan yang mewakili sektor yang majoriti di kampus sepatutnya diangkat
setaraf dengan senat dalam kampus. Segala keputusan yang dikeluarkan oleh
pentadbiran kampus dan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan dalam kampus
terutamanya yang melibatkan mahasiswa mesti mendapatkan persetujuan dari MPP
bukannya MPP sekadar entiti yang mendengar taklimat dan perlu bersetuju.
MPP mesti menjadi rakan
pembangunan dan rakan pembuat keputusan dalam universiti. Bukan sekadar
penerima dan pelaksana kepada pembangunan universiti. MPP bukanlah kontraktor
dan bukan juga unit infrastuktur dalam kampus, tapi MPP merupakan kuasa penentu
keputusan kepada kontraktor dan unit infrastuktur kampus untuk membangunkan
Universiti.
MPP perlu mempunyai dana
mereka sendiri dan boleh menyelenggara serta membuat pungutan wang dan harta
dari mana-mana punca yang dirasakan oleh MPP mampu memberikan pulangan kepada
mahasiswa. Biar MPP menentukan corak ekonomi mereka sendiri tanpa perlu
terhegeh-hegeh merayu simpati kepada pentadbiran Universiti. Mereka bukan lagi
budak kecil yang hanya pandai meminta-minta wang dari orang tua Naib Canselor.
MPP, bukan sahaja perlu
mempunyai dana mereka sendiri, bahkan mereka perlu dilatih dan dididik untuk
menguruskan aset sendiri. Aset ini bukanlah bermaksud bilik gerakan MPP
semata-mata, tapi Aset yang melibatkan pengangkutan, hartanah, bangunan dan
mungkin pelaburan-pelaburan dalam mana-mana sektor. Kita idamkan MPP mempunyai
bas mereka sendiri dan mampu mengajikan pemandu bas sendiri bahkan mereka
mempunyai bangunan atau rumah kedai untuk membangunkan ekonomi mahasiswa itu
sendiri.
Biarkan mereka memerintah
‘mini negara’ mereka sendiri. Kehadiran Naib Canselor dan Timbalan Naib
Canselor HEP tidak lebih menyebabkan negara mini ini berada dibawah kekuasaan
monarki yang authoritarian. Semua perkara mesti mendapat perkenan NC dan TNC
bahkan mesti mengadap sembah pula. Malaysia sebuah negara demokrasi, biarkan
MPP mempraktikalkan sistem demokrasi itu dalam universiti sebagai ‘mini
malaysia’. Demokrasi bukanlah sekadar Pilihan Raya Kampus semata-mata tapi
ianya melibatkan proses-proses dalam menentukan dasar sesebuah negara mini.
Kedua, dari segi jawatankuasa
pemilihan MPP. Campurtangan NC dan TNC dalam pemilihan atau Pilihan Raya Kampus
ini mewujudkan kecurigaan kepada mahasiswa kerana NC dan TNC itu dilantik oleh
orang politik yang mempunyai kepentingannya. Sebagaimana yang disebutkan diatas
tadi. Tuntutan mahasiswa untuk mereka mengendalikan sendiri pilihanraya kampus
mesti diberikan agar campur tangan politik luar itu tidak terjadi.
Jawatankuasa ini boleh
melibatkan badan-badan pelajar yang ada di Universiti sebagai penggerak
utamanya. Wakil dari badan-badan pelajar inilah yang akan mengendalikan
pilihanraya kampus. Boleh dilantik pihak luar seperti SUHAKAM dan SPR sebagai
penasihat atau pemerhati kepada jawatankuasa ini dalam menjamin ketelusan
Pilihan Raya Kampus.
Ketiga, dari sudut suara
mahasiswa. MPP sepatutnya bukan hanya
berperanan dalam kampus semata-mata. Suaranya bukan hanya valid dan berkuasa
dalam kampus semata-mata. MPP patut turut serta dalam membina negara yang lebih
baik untuk rakyat Malaysia dengan memberikan cadangan dan kritikal terhadap
segala dasar yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah.
Dasar yang dibuat oleh
kerajaan turut akan memberikan kesan kepada mahasiswa sebagai rakyat dalam
sesebuah negara. Kebajikan mahasiswa dalam aspek nasional juga perlu diberikan
perhatian oleh MPP. Kini, MPP masih takut untuk bersuara luar di dari kampus
kerana kekangan-kekangan yang ada tadi. Sedangkan kesilapan kerajaan atau
ketepatan kerajaan membuat keputusan akan memberikan kesan secara langsung dan
tidak langsung kepada mahasiswa juga.
Inilah perkara-perkara yang
mahu dibawa oleh calon-calon Pro M bila mereka bergelar sebagai MPP. Menjadikan
MPP itu kembali berfungsi sebagai badan mahasiswa yang berperanan dalam
Universiti bukan menjadi MPP suruhan seperti lembu yang membawa kereta lembu. Namun,
perjuangan untuk membawa MPP kepada dirinya yang sebenar bukanlah sesuatu yang
mudah dengan halangan dan cabaran yang ada dari Menteri, Naib Canselor dan
Timbalan Naib Canselor hasil dari AUKU.
Pengalaman MPP Pro M dalam
merubah hal-hal ini dibalas dengan jahat oleh pentadbiran Universiti. Seperti
contoh Fahmi Zainol Presiden MPP UM digantung 2 semester, Hanif Mahpa Presiden
MPP UIAM digantung 2 semester bersama Afiqah Zulkifli selaku Exco MPP dan
Sallehuddin Presiden MPP UKM diberikan amaran keras dan didenda RM 100 bersama
12 lagi barisan pimpinan mahasiswa UKM.