Wednesday 23 December 2015

PENERANGAN DAN PERSOALANNYA

PENERANGAN DAN PERSOALANNYA
Oleh : Khaidir Khatib
Ketua Penerangan PAS Kelantan 1958

PENTINGNYA PENERANGAN

Kita berjuang untuk mencapai kemenangan,
Kemenangan tidak akan diperoleh melainkan dengan kekuatan,
Kekuatan tidak akan ada melainkan dengan persatuan
Persatuan tidak akan wujud melainkan dengan persamaan keyakinan,
Keyakinan tidak akan tumbuh melainkan dengan pengertian,
Pengertian tidak akan didapat melainkan dengan penerangan.

1.      Cita cita Islam adalah sejarah memperoleh kemenangan adalah dimulai dengan dakwah atau penerangan, iaitu mengajak manusia memahami kebenaran yang disampaikan oleh Rasul. Penerangan itu mewujudkan faham dan faham menimbulkan keyakinan. Keyakinan itu sumber persatuan dan kalimat tauhid yang menjadi punca keyakinan mewujudkan tauhidul-kalimah iaitu persatuan pendapat dan sikap. Dengan persatuan timbullah kekuatan dan dengan kekuatan tercapailah kemenangan.

2.      Maksud penerangan ialah menyakinkan orang dengan dalil-dalil yang ma’qul serta tahan uji tentang kebenarannya. Oleh itu, memberi penerangan tidaklah boleh dengan meraba-raba atau dengan teragak-agak, tetapi ia hendaklah dilakukan terlebih dahulu mempelajari dan memahami dengan saksama tentang apa yang hendak diterangkan dan mestilah sanggup pula dipertanggungjawabkan tentang kebenarannya jika berbangkit sebarang soalan dibelakang hari kelak.

3.  Ketahuilah bohong dapat dilakukan pada sebahagian orang di sebahagian tempat dan di sebahagian masa, tetapi bohong tidak akan laku pada semua orang di semua tempat dan di semua masa.

TUGAS PENERANGAN

1.      Ke dalam
a.     Memperdalamkan keyakinan pengikut-pengikut parti kita tentang benarnya apa yang kita perjuangkan (tentu sahaja dengan menggerakkan daya berfikir mereka supaya mereka jangan menjadi kaum muqallidin iaitu kaum yang mengikut dengan membuta tuli)
b.     Meresapkan faham persaudaraan Islam dalam hati sanubari mereka sehingga mereka merasakan jemaah parti sebagai satu tubuh yang bila sakit, merasa sakit seluruh tubuh.
c.   Menumbuhkan kemahuan untuk beramal dengan penuh rasa pertanggungjawapan-pertanggungjawapan sebagai hamba Allah, pertanggungjawapan sebagai anggota parti dan pertanggungjawapan sebagai anggota masyarakat.
2.      Ke Luar
a.      Menyampaikan semua atau meratakan faham tentang hakikat ajaran Islam
b.      Menjelaskan dasar dan tujuan perjuangan parti kita.
c.       Menerangkan dengan secara objektif atau sihat garis-garis pemisah antara kita dengan yang bukan kita dalam perjuangan politik.
d.  Menerangkan sikap atau pendirian kita dalam satu-satu persoalan politik yang berbangkit.

TUGAS-TUGAS PEGAWAI PENERANGAN

1.      Memahami dengan secara mendalam dasar dan tujuan parti kita- politik dan organisasi.
2.   Mempelajari tiap-tiap perkembangan di sekitar masyarakat tanahair, sama ada yang mengenai politik atau dunia kepartian.
3.      Mengetahui dasar dan tujuan parti lawan kita.
4.      Memahami kedudukan atau jiwa satu-satu tempat sebelum melancarkan penerangan.
5.      Memberikan penerangan dengan tujuan mengisi jiwa dan menyakinkan orang.
6.  Menghadapi lawan politik kita dengan waspada dan lapang hati, hormati faham mereka walaupun kita tidak bersetuju dengannya.
7.      Menjaga batas-batas kesopanan Islam dalam masa berbicara.

NILAI PENERANGAN

Nilai sesuatu penerangan tidak terletak pada gemuruhnya tepuk pendengar dan hebatnya suara pensyarah, tetapi ketahuilah bernilai atau tidak sesuatu penerangan itu adalah bergantung kepada kebolehan atau keahlian si pembicara memecahkan soal yang dibicarakannya dengan teratur, mudah dan menggembirakan, sehingga senang diikuti atau difahami orang.

CARA-CARA PENERANGAN

1.      Tegas tetapi penuh hikmah
2.      Kalau perlu hentam- ingat, hanya kalau perlu- tetapi dengan hujjah hujjah yang teguh
3.      Elakkan dari menyentuh atau mencela diri perseorangan.
4.      Pohonkan hidayah dari Tuhan sebelum mulai berucap.
5.      Luruskan niat bahawa apa yang kita tujui hanyalah keredhaan Allah.
6.      Jangan lekas terlatah jika menerima serangan, lidah orang yang berakal terletak di hatinya, sedangkan hati orang yang bodoh terletak di lidahnya.
7.   Pemecahan satu-satu soal sedapat-dapatnya hendaklah diakhiri dengan memberi kesimpulan yang dapat dipegang oleh pendengar-pendengar sebagai intisari dari penerangan itu.
8.      Jangan bercakap sampai meleret-leret sehingga membosankan, sedikit tetapi kemas adalah lebih baik daripada banyak tetapi menjemukan.
9.  Segala percakapan hendaklah timbul dari hati dan bukanlah hanya merupakan permainan lidah semata-mata. Ketahuilah hanya yang dating dari hati sahaj yang akan diterima oleh hati.

SASARAN PENERANGAN

Yang menjadi matlamat kita dalam penerangan ialah hati pendengar bukan telinganya. Oleh itu, jangan memberi ucapan sekadar hanya untuk melepaskan angin atau sekadar hanya untuk memuaskan sentimen sahaja. Ketahuilah, yang memberi hidayah kepada manusia ialah Tuhan bukannya kita. Kewajipan kita hanyalah untuk menyampaikan. Jangan merasa sempit dada dan kecil hati kalau saranan kita ditolak oleh orang, kerana belum pernah satu perubahan terwujud dengan tiada melalui kekecewaan.

HASIL PENERANGAN

1.      Mendapat sambutan baik : kita bersyukur, terus berjihad menabur bakti
2.      Mendapat perlawanan : koreksi (baiki) kesalahan diri kita, kerana kadang-kadang perlawanan itu timbul bukan kerana tidak baiknya apa yang kita bawa, tetapi tidak kena cara membawanya, maka juga kadang-kadang menimbulkan penentangan yang hebat. Tetapi jika perlawanan itu datang dari nafsu memusuhi kebenaran, kita harus bersikap:

a.      Kalau ia akan menimbulkan fitnah, kita tidak boleh mendiamkan diri
b.      Kalau ia hanyalah ribut dalam cawan, kita harus bersikap tunggu dan lihat.

Dalam pada itu, jangan patah hati, kerana adat berburu ialah kena duri. Kita berani menegur, maka kita juga perlu berani kena tegur. Kita berani memukul, maka kita juga perlu berani kena pukul. Siapa yang takut dilanggar pasang, jangan berumah ditepi pantai.

JIWA (ROH) PENERANGAN

Yang kita tuju dengan penerangan ialah menegakkan kebenaran. Ketahuilah kebenaran tidak akan berdiri dengan kebatilan. Membela kebenaran mestilah dengan kebenaran. Kerana itu, yang menjadi roh penerangan kita ialah kalimatul-haq: haq yang mesti dibela dan batil yang mesti dirobohkan. Termasuklah dalam kalimatul-haq ini, selain daripada Al-Quran dan Al-Hadith Ialah kenyataan, sama ada kenyataan yang tersimpan di dalam lipatan sejarah atau kenyataan yang sekarang tengah berlaku dihadapan mata kita.

YANG MESTI DIJAUH DALAM PENERANGAN

1.      Mengobar-ngobarkan semangat semata-mata dengan tidak memberikan arahan yang tertentu (agitation)
2.      Membayangkan istana asap gunung tinggi seribu janji
3.      Menggunakan ugut-ugutan atau menakut nakutkan.

Hendaklah kau ajak orang ke jalan Allah dengan bijaksana, dengan peringatan yang ramah tamah dan bertukar fikiran dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya” [Surah Al-Nahl ayat 125]

TERLANJUR SURUT, TERLANGKAH KEMBALI

Sebagai manusia kita tidaklah maksum dari silap dan salah. Jika ada kata terlanjur, lutut terdorong, sama ada teguran datang atau tidak, kenalah kita menghela surut kepada Tuhan meminta ampun, kepada sesame manusia memohon maaf.

Akar tidak sekali tumbuh, fikiran tidak sekali datang.


*Diulang salin daripada buku Perjuangan Penuh Cabaran hasil karya Kamarul Zaman Hj Yusoff.


No comments:

Post a Comment