Tuesday 3 May 2016

DOKTRIN [?]


Menerobos pemikiran dan fikrah manusia dengan doktrin-doktrin yang mencergaskan merupakan suatu hal yang aku sangat sukai. Sebuah doktrin yang menggerakkan anggota badan, doktrin yang menjadikan jiwa mudah sensitif dengan kemungkaran dan doktrin yang memarakkan tindakan dan gerakan. Kita mampu jumpainya dalam aqidah perjuangan.

Bukannya doktrin bodoh yang menjadikan manusia itu seumpama binatang sarkas, yang fitrahnya meliar dan ganas bertukar paksa menjadi lemah gemalai, taring dan kuku yang membunuh sepertinya hilang bisa bahkan diwarna dengan pewarna kuku pula.

Hasil paksaan dan deraan berkali-kali, seekor singa mampu sujud dikaki manusia semanja kucing. Sedang singa itu azalinya liar dan bebas. Singa pada nama, sarkas pada sifat. Itulah bezanya antara singa rimba dengan singa sarkas. Yang asli fitrah dan fikrahnya ialah singa hutan. Melawan dan membaham.

Saatnya sudah dimamah doktrin ini, apa sahaja yang diarah pasti dituruti. Dijilat-jilat, dicium dan didakapi semua dituruti tanpa rasa mahu melawan dan membangkang. Saat ini kebodohan sedang menjalar dalam dunia.

Dalam kecamukan ini, mendesak untuk kita muncul menebas kembali semak samun doktrin yang memenuhi ruang jiwa dan otak manusiawi. Menggembalikan manusia itu pada fitrahnya yang semulajadi. Merdeka, bebas, berjemaah, syura dan keamanan. Memberi erti manusiawi kepada manusia.

Kebangkitan ini lahir daripada keyakinan kita, keyakinan bahawa agama Islam itu tidak mungkin mahu melahirkan umatnya yang bodoh. Tidak sesekali, bahkan ianya mengeluarkan manusia dari gelap kejahilan kepada kecerahan pengetahuan. Sementelah itu mengapa masih ada yang takut untuk mewariskan dan melahirkan pelapis muda yang bijak dan cerdik.

Bagaimana kita bisa mengiktiraf mereka ini sebagai pendokong pejuangan, kerjanya kesana- kesini untuk membodohkan anak cucu adam ini. Jika tidak mengikut akan didera emosi dan jiwanya seperti libasan cemeti mengena tubuh badan singa tadi.

Kasihan kepada adik-adik, terpaksa menelan pahit pemikiran kolot dan kotor. Generalisasi dan Simplistik menjadi akar kepada cara fikir yang diterapkan ini. Berbeza sahaja, sudah dianggap penentangnya, walhal perbedaan itu dilontarkan dalam permesyuaratan. Bukan sahaja dilabel dengan penentang bahkan dijaja seluruh alam. Tidak cukup itu, dengan jiwa yang hitam dihukum pula dengan pelbagai ancaman.

Pukal dan pukul rata juga menjadi asas dalam menjahanamkan sistem fikir anak muda. Sehinggakan kawan dilihat lawan, anak usrah dilihat penyusah, pimpinan dilihat syaitan. Mereka berjaya mengkelabukan cara fikir anak muda. Hingga inilah pelapis yang ada buat negara.

Akar ini perlu dibuang sebelum mencengkam lebih dalam, bahkan racunnya menjalar lebih lebar dan luas. Jangan sehingga kita terpaksa membuang jiwanya yang dibaluti akar fikiran songsang ini. Sementara, anak benihnya masih muda, dan akarnya baru seinci sahaja elok benar dicabut buangnya.

Proses membuangnya bukan senang, si pendoktrin tadi sudah pasti mengawalnya dengan ketat. Sudah pasti kuasanya ada akan diguna semaksima mungkin bagi menghalang projek pembersihan fikrah ini. Oleh itu, suatu strategic planning perlu dibangunkan.

Alhamdulillah, langkah kepada planning ini sudah mula melangkah. Perlahan-lahan kita gerakkan secara berhati-hati kita mengalihkannya. Sedikit tempang langkah, akan membangunkan naga yang sedang melikar marah bahkan mungkin terjunam masuk ke dalam gaung buangan.

Kesabaran dan kepaduan tanpa wasangka antara penggerak mesti dipertemukan dahulu. Setiap ruang halus yang membisakan kita bernafas perlu diterokai untuk sebuah kehidupan yang lebih matang dan aman. Cari dan gali mana-mana lubang yang boleh kita serapi untuk mengengkang budaya hodoh ini.

Tukar akar fikir kolot dengan akar fikir Islam, yang mengaktifkan jiwa yang kusam. Bahkan doktrin yang tidak menzalimi kaum lainnya dengan maklumat yang sempit. Sehingga mampu jiwa itu dikorbankan untuk sebuah keadilan dan keamanan. Bukan menjadi hamba kekacauan dan keresahan hati.

Jalan keluarnya hanya satu iaitu dengan menghayati kalimah لا اله الا الله محمد رسول الله iaitu suatu kalimah yang menghidupkan spiritual, fizikal dan juga emosional. Mahu lebih dalam, perlu dibaca tulisan HAMKA berjudul Doktrin Islam yang Menimbulkan Kemerdekaan dan Keberanian. Jangan lupa juga untuk memahami kalam Tuhan dalam Surah an-Nisa’ ayat 59.

“ Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”




No comments:

Post a Comment