Saturday 20 February 2016

NILAI SEBUAH IDEA BARU


DR ZULKIFLI DAN IDEANYA

Dr Zulkifli Mohammed (TYDP PAS) telah mencadangkan dalam satu mesyuarat AJK PAS Pusat sekitar tahun 1960-an tentang satu idea yang baru iaitu membuka keahlian PAS kepada non-muslim menjadi ahli bersekutu.

Namun, idea ini dikritik dengan dahsyatnya oleh ahli mesyuarat seolah-olah idea yang dikemukakan itu mahu mengkhianati perjuangan PAS. Dr Zulkifli menangis dengan kritikan yang diberikan kepada beliau itu. Sehingga memaksa Dr Burhanuddin sebagai pengerusi mesyuarat menangguhkan mesyuarat tersebut. 

Apabila mesyuarat kembali bersidang, Dr Zulkifli menarik balik ideanya tadi dari terus diperbahaskan untuk mengelakkan lebih banyak salah faham.

Akhi, setelah lebih kurang 40 tahun, barulah idea Dr Zulkifli dapat dilaksanakan iaitu pada 2004 dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS yang dianggotai oleh non-muslim. Itulah nilai sebuah idea baru yang perlu dihadapi oleh si pemberi idea.

Air mata kesedihan pada 1960-an itu mengambil masa selama 40 tahun untuk bertukar menjadi air mata kegembiraan dan kebanggaan bagi perjuangan Islam di Malaysia. Hal ini menggambarkan dalam perjuangan ini perlunya kesabaran dalam membawa idea baru yang menongkah arus.

Kisah ini mengimbau kembali pengajianku di alam kampus dalam matapelajaran Critical Thinking berkenaan idea baru. Inginku kongsikan buat penggerak harakah islamiah semua agar pengajaran dari sejarah PAS diatas tidak membantutkan kita untuk melontarkan idea baru.

Dalam berinteraksi dengan idea baru, ada empat asas yang perlu dipegang oleh kita, dua asas kita sebagai watak Dr Zulkifli [pemberi idea] dan dua asas lagi sebagai watak kita sebagai ahli mesyuarat [penerima idea] iaitu ;

PENERIMA IDEA

1] Bersabar dengan Idea Baru dan Perlewatkan Penilaian dan Kritikan

Kita perlu lewatkan kritikan dan simplistik dalam membuat penilaian terhadap sebarang idea baru yang dilontarkan kepada kita. Beri masa untuk idea ini diuji dan dikaji terlebih dahulu, sebagai mana yang dibuat oleh Dr Zulkifli terhadap idea Amaluddin Darus yang mahu mewujudkan Kolej Islam di Kelantan bawah kerajaan PAS. 

Walhal, saat itu, idea Amaluddin Darus sebenarnya dikritik dan dipandang sinis oleh ahli mesyuarat. Namun, Dr Zulkilfli memperlewatkan kritikan dan penilaiannya dengan meminta Amaluddin Darus mengemukakan dahulu hujjah dan draf cadangannya. Akhirnya tertubuhlah sebuah institusi pengajian tinggi di Nilam Puri setelah hampir 5 tahun idea ini dicetuskan. 

2] Nyahkan sikap Pressure on Dissenters

Buangkan tabiat melabel orang yang mengemukakan idea yang bertentang dengan kita atau bertentangan dengan budaya kerja kelompok kita sebagai 'penentang' 'pengkhianat' dan sebagainya, selagi mana idea tersebut dilontarkan dalam saluran yang benar. Sebagaimana idea yang dilontarkan oleh Dr Zulkifli dalam mesyuarat AJK PAS Pusat itu. 

Bahkan mesyuarat dan perbincangan itu tempat untuk brainstorm dan berbincang serta berbahas, bukanlah tempat untuk saling mencincang dan berbalah. 

PEMBERI IDEA

1] Bersabar dengan Karenah Manusia dan Perlewatkan Putus Asa dan Emosi

Ye, dalam mengemukakan idea yang dilihat berlawanan arus itu suatu yang perit sementelah pendengarnya tiada punya akhlak islami. Namun idea yang akan bakal direjam itu perlu jua di sebutkan dan persiapkan diri untuk diperlekehkan.

Jangan sesekali berputus asa kerana idea Dr Zulkifli itu juga mengambil masa 40 tahun untuk diterima. Begitu juga dengan penubuhan SRITI yang mengambil masa 28 tahun untuk ditubuhkan selepas penubuhan PASTI, dan kita tidak tahu bila pula akan ditubuhkan SMITI. 

Oleh itu, fahami sebaiknya sunnah idea baru dan perubahan itu memakan masa dan adanya tentangan. Perlewatkan untuk beremosi sehingga idea itu benar terjadi dan diterima secara rasmi. 

2] Nyahkan sikap Self Censorship

Cabutlah rasa takut untuk bercakap sesuatu yang bertentangan dengan golongan majoriti selagi perkara itu tidak diputuskan lagi secara konsensus atau syura. Gunakan saluran yang tepat untuk melontarkan idea tersebut iaitu mesyuarat. 

Idea yang datang jangan dipendam, lontarkan sahaja untuk dinilai. Jika dipandang sinis dan diperlekeh pun ketika itu, mungkin akan menjadi suatu hal yang besar pada masa akan datang. Tidak sesuai ketika ini, belum tentu tidak sesuai pada masa hadapan. 

AKHIRNYA

Terima kasih Sir Nasir (pensyarah subjek Critical Thinking) yang membuatkan aku cuba berpegang dan praktis keempat-empat point ini. Semoga kita mampu untuk mengamalkannya bagi menstabilkan pengurusan konflik dalam kalangan kita. 

Terima kasih juga buat  Dr Zulkifli Mohammed yang sanggup mengorbankan emosinya melontarkan idea ketika itu, sehingga kami anak muda dapat mengambil ibrah dari pengkisahan ini. Sabar dan terus istiqamah
dalam perjuangan.

Moga kami juga mati dalam perjuangan sepertimu. 




Dr Zulkifli Mohammad


2 comments: