Tuesday 31 May 2016

DUA KEAJAIBAN

DUA KEAJAIBAN

Seminggu ini kita boleh melihat paling kurang dua keajaiban yang berlaku dalam alam politik Malaysia terutamanya berkaitan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sehingga dua keajaiban ini menimbus dakwaan demi dakwaan dari pihak yang tidak bermoral dan bertanggungjawab.

KEAJAIBAN PERTAMA

Keajaiban pertama berlaku pada malam 27 Mei 2016 iaitu malam pengumuman calon PAS bagi kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Malam itu normal sahaja, seperti malam pengumuman calon yang sebelum belum ini sahaja, namun yang ajaibnya masih ada Doktor Perubatan yang bersama PAS.

Mana tidak ajaibnya, momokan PAS menyisihkan golongan professional dilihat real apabila terwujudnya parti serpihan. Bahkan, dakwaan yang berkumandang diseantero alam Malaysia ini PAS hanya tinggal tok-tok lebai sahaja.

Namun, dengan pemasyhuran YB Dr Rani dan Dr Najiha pada malam itu telah menutup dua dakwaan jahat mulut busuk para manusia politik. Dakwaan bahawa PAS sudah tiada dokongan golongan professional tertimbus dengan keajaiban ini dan juga dakwaan PAS menyisihkan golongan professional juga karam akibat tusukan keajaiban ini.

Maka, rakan lama pun menjadi pening tatkala dakwaan sudah karam dan tenggelam hinggakan ada yang dahulunya nampak kritikal dalam memberikan pandangan, kini sudah nampak seperti mental tidak waras membuat bacaan politik. Anak muda memerhati dan membuat penilaian.

KEAJAIBAN KEDUA

Keajaiban kedua baru sahaja terjadi sebentar tadi iaitu pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia. Ya, sekali lagi majlisnya seperti biasa seperti muktamar sebelumnya yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden sejak tahun 1982. Namun keajaibannya muncul tatkala langkahan kaki 4 pimpinan menjejak ke dewan KTC dengan berpakaian baju melayu persis pahlawan melayu bersama tanjak dan keris digenggam erat.

Mana tidak ajaibnya, tidak pernah terlintas dalam minda kita, pimpinan PAS yang dipengaruhi arabisasi ini akan mengenakan pakaian Pahlawan Melayu. Namun, keajaiban itu terjadi kini pada saat PAS diserang dengan dakwa-dakwi berUG dan berpakat dengan UMNO. 

Bertepuk tangan dan paha-lah kawan lama, sekali lagi menjadikan baju pahlawan melayu ini sebagai satu bentuk dalil reaksi daripada berpakatnya PAS dan UMNO. Kalau kita ingat sebelum ini baju pink sedondong pun sudah dijadikan hujjah kepada bibit UG yang dilaung-laungkan tapi tidak juga terjadi. Maka baju pahlawan melayu berserta keris ini memberikan harapan baru buat pendakwa-pendakwa ini bersuka ria.

Ternyata mereka terus bermimpi seperti mimpi baju pink sedondong. Namun, keajaiban ini menunjukkan bahawa PAS itu bukanlah sebuah parti yang rigid, jumud, konservatif dan tidak progresif. Bahkan sekaligus, menampakkan keluasan Islam yang diperjuangkan PAS. Budaya dan bangsa tidak mati dengan anda menjadi Islam bahkan anda akan dimuliakan dengan memperjuangkan Islam.

Dan, keajaiban ini ingin membawa kita umat Islam Malaysia melihat bahawa sejarah keagungan Kerajaan Islam Tanah Melayu dahulunya gah, apabila pemimpin melayu yang berpakaian pahlawan itu berpegang dengan Islam, sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang tubuh atau kanun-kanun negeri-negeri Melayu dahulu kala. Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan pakaian baju pahlawan ini.

Akhir sekali, perkara ini juga menunjukkan PAS sebuah parti yang tegas pada dasar dan prinsipnya, namun sangat anjal dan fleksibel dari sudut pendekatan dan pembawaannya. Sekaligus ini bertepatan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

PEMERHATIAN PERIBADI POLITIK

Politik PAS pada hari ini sepatutnya tidaklah dipandang oleh rakyat Malaysia kerana PAS sudah berada pada blok ketiga. Tidak bersama Barisan Nasional dan tidak pula bersama dengan Pakatan Harapan, sepatutnya sebuah parti yang tidak bersama dengan koalasi kuat seperti PH dan BN terus terkepit ditengah-tengah penggeseran dua gergasi pakatan politik ini.

Namun, menariknya ianya tidak berlaku. Bahkan PAS terusan menjadi perhatian dengan setiap tindakan-tindakannya. Media sosial tidak akan terlepas untuk membuat liputan tentang parti PAS ini. Tidak melampau jika kita katakan PAS yang memegang suis suasana politik hari ini. Lihatlah sahaja hari ini, isu baju pahlawan pula menjadi bualan dan juga akta 355.

Tatkala akta 355 dibacakan, maka berantakkan-lah parti komponen BN. PAS hanya memerhatikan semua parti yang berpakat ini berkocak sesama mereka terutamanya BN. Parti komponen PH pula kelihatan terkepit dalam isu akta 355 ini terutamanya Amanah. Namun PAS pula sangat tenang dan menganggap ini sebagai satu kejayaan pertama menuju kejayaan yang masih jauh. Betapa tenangnya berada dalam PAS.

Manakala dalam isu PRK pula, PAS yang dahulunya didakwa sebagai tongkat BN lebih awal menyatakan untuk bertanding dalam dua PRK ini menentang BN atas asas kerusi ini sudah menjadi kerusi tradisi PAS. Akhirnya PH pula dalam dilema dan dakwaan sebagai tongkat BN kini terpikul dibahu mereka jika masuk bertanding dengan wujudnya tiga penjuru, mereka akan dilihat sebagai pengacau dan sekaligus memberikan tongkat kepada BN.

KESIMPULAN

Akhirnya, akal yang cetek ini mula berfikir apakah hikmah yang Tuhan ingin tunjukkan dari beberapa isu ini. Betapa tenangnya jiwa ini terus berada dalam PAS. Sudah semestinya, antara yang manusia inginkan di dunia ini adalah jiwa yang tenang apatah lagi dalam kecamuk politik yang menggila. Ajaibnya, dalam PAS aku temui jiwa yang tenang.

Wallahua’lam
Ahmad Fahmi Mokhtar







No comments:

Post a Comment