Sunday 17 January 2016

SEJARAH PAS : HATI-HATI DENGAN SEJARAH

Teringat
Sehari dua ini teringat kepada rakan-rakan yang dahulunya bersama PAS, kini memilih bersama wadah yang lainnya. Saat konflik dan krisis itu, ya, sebak rasa jiwa tatkala kau tinggalkan bahtera ini.   Hingga aku terkadang terkeliru mencari punca kau pilih berada disitu. 

Serangan saling berbalasan, melihat kawan rapat menjadi musuh untuk ditetak. Di sini boom yang di sana, dan di sana boom yang disini. Habis kisah rahsia teman mesra dulu itu dirobek dan dikopek. Aku tergigil dalam pilu.

Kau Dalam Sejarah
Hinggalah suatu ketika, aku terjumpa catatan lama. Sejarah-sejarah PAS yang tua. Alhamdulillah, aku temui jawabnya. Hinggakan aku lapang selapangnya meneruskan kehidupan. Sejarah itu mengulangi riwayatnya, suatu kalimah dari Dr Burhanuddin yang terus melekat dijiwaku. 

Bila teringat pada teman yang telah keluar dari PAS, terus terlintas dalam mindaku kisah Abu Bakar Hamzah. Orang kuat PAS, memegang Ketua Pemuda PAS, pernah keluar dari PAS namun telah kembali bersama PAS pada penghujung usianya. 

Hal ini menyebabkan aku, mulai berhati-hati dalam mengatur tulis dan bicara. Bak pesan Khaidir Khatib, Ketua Penerangan PAS Kelantan 1958, elakkan dari menyentuh atau mencela diri perseorangan. Kita berlawan dengan parti, tapi kita berkawan dengan orang. Kita berkeras dengan parti tapi kita berlembut dengan orang.

Bak kata TGNA pada 1982, PAS itu lain, Nik Aziz itu lain, PAS itu lain, Asri itu lain. Beza antara parti dan individu perlu kita fahami. Jika nak ajak makan, ziarah itu boleh, tapi bila bersangkut hal merosakkan parti itu tidak boleh.

Tulisan dan bualan kita biarkan membuka cara fikir mereka, memberi hujahan fakta dan cicipkan dengan nilai kasih sayang agar nanti mereka juga persis Abu Bakar Hamzah. Itulah doaku, tiap kali bercerita berkenaan sejarah PAS. Usahlah dihentam kuat, risau kita yang menggeliat. Cukuplah cubitan manja dari seorang sahabat.

Hati-Hati dengan Sejarah
Sementelah itu, aku juga risau pada diriku dan teman-teman yang terlalu menyerang dan melawan. Lagi risau pada serangan yang berpunca dari fitnah. Risau. Ketika ini kitalah kuat melabel dan menghentam manusia lainnya, nanti kedepan kita pula bersama orang yang kita labelkan tadi. Masa depan bukan dalam tangan kita kan?

Bendera asal PAS 1951.
Fikirku ini nampak ada faktanya. Sejarah PAS juga pernah menitipkan hal ini. Orang yang mengkafirkan UMNO pada suatu ketika dahulu, tidak lama selepas itu dia juga yang menyertai UMNO. Bah digelar sebagai ulama' UMNO. Jadi berpada dan beringatlah kita.

Begitu juga, orang kuat PAS pada awalnya, pada akhirnya meninggalkan PAS. Bahkan Presiden Pertama, Ketua Ulama Pertama dan Ketua Pemuda Pertama telah meninggalkan PAS. Mereka ini sudah pasti kuat PASnya lebih dari kita, kerana asas tapak yang dibina mereka. Namun, mereka meninggalkan PAS. 

Kita bagaimana? Dua Presiden PAS pernah meninggalkan PAS, Hj Ahmad Fuad dan Dato' Asri. Begitu juga Ketua Pemuda PAS, daripada 15 orang ketua Pemuda, 8 daripadanya pernah meninggalkan PAS. Maka sahabat, kita tertanya pengakhiran kita dimana?

Oleh itu berwaspadalah, bahtera ini bukan main-main. Apatah lagi kita ini pemuda biasa. Bukan pula ertinya kita berdiam diri. Menerang bukan menyerang, maklumat tepat bukan main tembak, keyakinan bukan sangkaan.

PAS Ok, Kita?
Pun begitu sejarah ini jua mengajar kita, PAS tidaklah terkesan sangat dengan peninggalan pergi tokoh tokoh PAS. Ini sejarah, hinggalah kini PAS tidaklah terkesan sangat. Jelas, perjuangan PAS bukan pada terpaut pada sosok-individu tapi pegangan dan aqidah perjuangan.

Jika ada yang berharap PAS terkubur kerana keluarkan tokoh yang tersohor, maka, lihatlah dahulu sejarah PAS menceritakan nama tokoh itu yang terkubur sebelum sempat digali lubang kuburnya. Ya, PAS itu tiadalah kita risau akannya, namun risau itu pada diri kita.

Maka, kita hanya mampu berdoa untuk masa depan. Samaada untuk kita, atau untuk teman kita. Permulaan dan pertengahan itu pelbagai ragamnya, namun penentunya pada pengakhirannya. Baik atau buruk.

Akhirnya.
Maka, buat teman yang transit di wadah lainnya, kita berdoa buat mereka. Bahkan, buat diri kita yang masih bersama, lebih-lebih lagi perlu ditadahkan doa agar tiadalah hati itu tergugat dengan sedikit ribut yang meniup.  

Hati-hati dengan sejarah. Jauh lagi belajarlah untuk merubah dari sejarah. Kota Rom itu tidak terbina dalam sehari. Apatah lagi dari PASTI menuju SRITI memakan masa 28 tahun masihi. Perubahan dan penambahbaikan itu lama tempohnya. Jangan gopoh nanti terjatuh. 

Berdoalah dari doa ma'thur. Kalam Tuhan dan Nabi S.A.W


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ




2 comments:

  1. Alhamdulillah.. semoga pas mengamalkan konsep BPMS kepada semua orang.. tidak retorik kepada parti pemerintah sahaja.. ikhlas dari masih penyokong, bukan ahli

    ReplyDelete