Thursday 3 September 2015

DR BURHANUDDIN AL-HELMI : KEMERDEKAAN TERTANGGUH DAN IDEA KEBANGSAAN MELAYU



CO-OPERATION DAN NON-COOPERATION

Perjuangan Dr Burhanuddin Al-Helmi sepatutnya diangkat menjadi seorang tokoh kemerdekaan Negara seperti diangkatnya Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan. Bahkan iktiraf Ahmad Boestamam mengangkat Dr Burhanuddin Al-Helmi sebagai Bapa Kebangsaan Melayu.

Namun, nama Dr Burhanuddin tidaklah diangkat segah tokoh-tokoh kemerdekaan yang datang dari kelompok nasionalis kanan. Sedangkan perjuangan kemerdekaan yang dibawa oleh Dr Burhanuddin dan PKMM lebih awal daripada UMNO itu sendiri.

Akibat memilih jalan konfrantasi dengan penjajah dan pro-penjajah, sosok Dr Burhanuddin dihitamgelapkan sejarah perjuangannya yang cukup bernilai. Sepatutnya perbezaan cara pendekatan ini perlu diraikan dan diiktiraf, samaada dari kelompok kanan atau kelompok kiri, kerana masing-masing turut menyumbangkan dan berperanan dalam mencapai kemerdekaan Negara.

Dr Burhanuddin sendiri menyimpulkan perjuangan mendapatkan kemerdekaan itu terbahagi kepada dua cara 1] co-operation (diplomasi dengan penjajah, haluan kanan), 2] non-cooperation (kronfantasi dengan penjajah, haluan kiri). Kedua-dua pendekatan ini pernah digunapakai oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Cuma, selalu dihighlightkan bahawa Dr Burhanuddin itu mengambil pendekatan non-cooperation  semata-mata, dengan berkonfrantasi terhadap penjajah British. Itu yang selalu dicanang kepada kita. Ianya betul, namun sejarah membuktikan Dr Burhanuddin juga pernah mengambil jalan diplomasi dengan penjajah Jepun.

Bukti diplomasi Dr Burhanuddin dengan Jepun dapat dilihat apabila Jepun melantik Dr Burhanuddin sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama dan Adat Istiadat Melayu Jepun di Taiping, Perak. Menariknya lagi, dengan jalan diplomasi ini, Dr Burhanuddin hampir mendapat kemerdekaan Tanah Melayu dari Jepun.

KEMERDEKAAN TERTANGGUH

1945, berlaku satu pertemuan antara Dr Burhanuddin Al-Helmi bersama dengan Soekarno-Hatta di Perak bagi membincangkan kemerdekaan secara bersama Indonesia-Semenanjung Tanah Melayu. Ini satu pertemuan yang bersejarah sekali. Keputusan dibuat, dengan penghujung Ogos 1945 diambil sebagai tarikh keramat kemerdekaan Indonesia-Semenanjung. Hasil pertemuan boleh dilihat pada keputusan ini :

Kemerdekaan Tanah Melayu turut bersatu dengan Indonesia, perisytiharan kemerdekaan akan diumumkan pada penghabisan bulan itu (Ogos), dan Tanah Melayu akan menghantar lapan perwakilan delegasi ke Jakarta untuk turut mengisytiharkan kemerdekaan dan pembentukan pemerintahan sementara negara Republik Indonesia sekali dengan Tanah Melayu.

Manusia merancang, Allah jua merancang. 15 Ogos 1945, beberapa hari sebelum pengishtiharan kemerdekaan Indonesia-Tanah Melayu. Jepun telah menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu selepas pengeboman Hiroshima-Nagasaki. Menyebabkan PKM (MPAJA, anti-Jepun) terus mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu selama 14 hari.

Akhirnya, hanya Indonesia yang berjaya mengishtiharkan Proklamasi Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945. Manakala kemerdekaan Tanah Melayu dibawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi telah tertangguh sehingga 31 Ogos 1957. Kemerdekaan Tertangguh.

Hal ini tidaklah melemahkan semangat perjuangan Dr Burhanuddin Al-Helmi untuk terus berjuang membawa kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bahkan, dari ucapan-ucapannya tidak melihatkan beliau kecewa dan putus asa. Tepatlah gelaran Al-Hulaimi atau Al-Helmi itu kepada beliau.



KEBANGSAAN MELAYU

Kebangsaan Melayu merupakan satu ide besar yang dibawa oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi, sehingga Ahmad Boestamam mengiktiraf Dr Burhanuddin sebagai Bapa Kebangsaan Melayu. Kebangsaan Melayu atau Nasionalisme yang dibawa oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi itu bukan dalam fahamassobiyyah dan perkauman sempit yang kita fahami kini. Namun ianya satu bentuk gagasan yang luas dan merentasi kaum.

“lebih tepatlah pengertian 'asabiyyah' ltu dengan rasa kebangsaan yang sempit, rasa perkauman - bukanlah rasa dan faham kebangsaan yang luas yang berdasarkan kepada tanah air dan kewatanan

Kebangsaan Melayu yang dibawa oleh Dr Burhanuddin itu bukan seperti Kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO/BN. Kebangsaan Melayu versi Dr Burhanuddin ini diasaskan pada tanah air dan kewatanan atau kenegaraan bukan berasaskan kepada perkauman semata-mata. Untuk lebih jelas saya bawakan lagi tafsiran Dr Burhanuddin terhadap Kebangsaan Melayunya itu.

“Tiap tiap seorang dan pada apa puak atau bangsa pun yang telah putus atau memutuskan pertalian dan perhubungannya dengan kebangsaan asalnya, lalu menumpahkan taat setia dan memenuhi syarat dan kehendak kebangsaan Melayu maka seseorang itu jadilah berkebangsaan Melayu menurut istilah politik. Sebaliknya pula tidaklah dapat dimasukkan seorang baka Melayu kepada kebangsaan Melayu jika seseorang Itu telahmemutuskan daripada kebangsaan melayunya dengan pilihannya sendiri dengan cukup keterangan-keterangannya pula”

Jelas bukan? Kebangsaan Melayu ini merupakan satu skop yang luas iaitu berkaitan ketaatan dan kesetian kepada tanah air dan negara, dalam bahasa yang lebih jelas lagi dengan erti KEWARGANEGARAAN. Idea besar ini turut dimasukkan dalam Perlembagaan Rakyat yang dibina oleh PUTERA-AMCJA pada fasa ke-sembilan.

IX) Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu,

Menariknya Perlembagaan Rakyat terutamanya perkara 9 ini dipersetujui oleh AMCJA yang diketahui umum merupakan kumpulan bukan Melayu. Ini sebuah idea untuk merapatkan jurang perbezaan kaum dan bangsa yang ada di Malaya dari sudut undang-undang dan politik bukan dalam erti keturunan dan baka. Idea ini mungkin boleh dikaji dengan lebih mendalam dalam memugar perpaduan kaum di Malaysia.

NASIONALIS ATAU ISLAMIS

Melihat kepada hurai diatas, sudah pasti kita akan meletakkan Dr Burhanuddin Al-Helmi tu berada dalam kelompok Nasionalis. Namun, bukanlah nasionalis kanan yang seperti UMNO dan kelihatan sepertinya nasionalis kiri. Atau adakah Dr Burhanuddin ini boleh diletakkan sebagai seorang Nasionalis Bulat?

Bukankah Dr Burhanuddin itu seorang Presiden PAS bahkan memegang tampuk Presiden selama 13 tahun. Bukankah juga PAS itu satu perkumpulan Islamis. Jadi, Dr Burhanuddin ini seorang Nasionalis atau Islamis?Persoalan ini, akan cuba saya huraikan dalam tulisan kedua nanti [In Sya Allah] atas sebab tidak mahu memanjangkan lagi artikel ini. Semoga diberikan kesempatan.

PENUTUP

Tidak adil generasi kini menolak sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh Dr Burhanuddin Al-helmi dan teman-teman seperjuangan beliau dalam mendapatkan kemerdekaan negara. Usaha yang begitu epik sekali telah diusahakan oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi dalam memerdekakan negara, hanya tinggal beberapa hari sahaja. Namun itulah Kemerdekaan Tertangguh. Idea Kebangsaan Melayunya pula sangat mendepani zaman. Nah, kini kita berdepan dengan isu perkauman sempit yang selalu dimainkan, dan ianya sangat sensetif seperti menjolok sarang tebuan.

Semoga, anak muda mempunyai upaya untuk melahirkan sosok persis Dr Burhanuddin Al-Helmi pada abad ini.

Rujukan
DR. BURHANUDDIN AL-HELMI: KEGIATAN NASIONALISME DAN POLITIK DI ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN, 1940-1945 Oleh : Mohamad Muzammil bin Mohamad Noor
Revisiting the Life and Thought of Dr. Burhanuddin al-Helmy Oleh : SUZY AZIZIYANA SAILI & KHAIRULNIZAM MAT KARIM
DR. BURHANUDDIN AL-HELMI: PEMIKIRAN DAN PERJUANGAN Oleh : Kamaruddin Jaafar
DR. BURHANUDDIN AL-HELMI : PUTERA SETIA MELAYU RAYA Oleh : Ahmad Boestamam





No comments:

Post a Comment